Wednesday, December 26, 2012

Majlis Menyalang Pusaka Adat

23 Disember 2012 REMBAU - Penyandang pusaka adat diingatkan supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, terutama sekali bagi menyelesaikan masalah 'anak-anak buah' mereka. Lembaga Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Datuk Perba Yahaya Abdul Ghani berkata setiap penyelesaian hendaklah dibuat secara adil dan disegerakan. "Walau bagaimana sukar sekali pun masalah itu, carilah jalan untuk menyelesaikannya," katanya pada majlis menyalang enam orang penyandang pusaka Buapak dan enam orang penyandang pusaka Besar Waris atau Besar Belinkongan Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Luak Rembau di kediamannya di Kampung Pulau Mampat di sini, hari ini. Selain dapat menempatkan diri dalam majlis-majlis adat, beliau juga mengingatkan semua penyandang pusaka adat dan isteri agar dapat menjalin hubungan yang baik dan mesra dengan masyarakat sekeliling serta dengan 'anak-anak buah'. "Sama-samalah kita menjaga institusi adat ini dengan baik dan berusaha bagi meningkatkan martabat adat ini," katanya. Istiadat menyalang ini adalah istiadat merafak sembah sebagai tanda menjunjung kasih penyandang pusaka baru kepada Datuk Lembaga (Datuk Perba). Istiadat ini dijalankan setelah Buapak dan Besar Waris berkenaan dilantik dan dipersetujui oleh 'anak-anak buah' suku tersebut. Pada istiadat itu Yahaya turut menyampaikan watikah pelantikan dan penyandang pusaka kemudian melafazkan ikrar taat setia mereka. Pada majlis itu, rombongan penyandang pusaka bersama 'anak buah' mengadap dengan beradat dan mempersembahkan 'pancho' dan 'semerit' (buah tangan) kepada Datuk Perba. Mengikut adat, kehadiran mereka dengan rombongan ini menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut. Pelantikan penyandang pusaka adat di Luak Rembau merupakan amalan demokrasi yang diamalkan oleh pengamal adat sejak dahulu lagi. Ia merupakan tanggungjawab setiap ahli dalam suku tersebut sebagai hak dan kebebasan untuk memilih dan dipilih. Kekosongan sesuatu pusaka adat selalunya disebabkan oleh kematian dan 'memuntahkan' pusaka dan sebagainya. - Bernama

Thursday, December 20, 2012

Pemuliharaan Telapak



Pada 23hb yang lalu, saya telah dijemput oleh YM Dato’ Samaraja Dzulkefli bin Ismail, Buapak Kampung Nan Delapan (Buapak Kampung Kota, Biduanda Lela Maharaja) untuk turut serta di dalam lawatan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Balai Undang Luak Rembau ke rumah telapak YTM Dato’ Undang Haji Ipap bin Abdullah, Undang Rembau ke 19 di Kampung Kota Lama. Lawatan ini merupakan susulan permohonan YM Dato’ Samaraja Dzulkefli untuk memulihara rumah telapak makam Tok Bungkal bagi tujuan menjaga sejarah permulaan sejarah Rembau dan dijadikan pusat sumber maklumat sejarah Rembau.Turut hadir bersama Pengarah Politeknik Port Dickson, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dato’ Perba, Dato’ Raja, Penolong Pegawai Daerah Rembau dan kakitangan LMNS. Perbincangan berkisar hasrat pemilik rumah untuk menjadi rumah telapak YTM Dato’ Ipap sebagai pusat maklumat sejarah Rembau. Ini adalah bersesuaian kedudukan rumah itu terletak di kampung asal dan bermulanya sejarah Rembau iaitu Kampung Kota. .Bersebelahan rumah ini, terletaknya makam Tok Bungkal dan suaminya, Dato’ Lela Maharaja. Kedua-duanya merupakan pendiri institusi Undang Rembau yang diwarisi oleh suku Biduanda Jakun dengan gelaran “Lela Maharaja“. Kemudiannya, jawatan Undang Rembau digilirkan di antara Biduanda Jakun dan Biduanda Jawa.


Sebaik sahaja selesai perbincangan di rumah, kami telah melawat kawasan makam. Saya dapati kawasan pokok buluh telah dibakar oleh penduduk kampung. Saya tidak faham kenapa pokok buluh tersebut dibakar kerana ia merupakan kawasan makam lama. Makam Dato’ Lela Balang terletak di dalam rumpun buluh yang dibakar.
Lanjutan daripada pertemuan yang pertama, LMNS telah bersetuju untuk menyediakan kertas cadangan memulihara semula rumah YTM Dato’ Undang Haji Ipap dan kawasan makam. Pada 29hb Oktober, Kurator LMNS dan konsultan telah melawat kawasan bagi menyediakan kertas cadangan. Saya dijemput untuk turut serta di dalam lawatan ini.


Rumah telapak YTM Dato’ Haji Ipap, Undang Rembau ke 19





Makam Tok Bungkal

Makam Dato’ Lela Balang



Sumber: Nagarinantuo

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts