Sunday, April 7, 2013

KOTA PERLU DIISYTIHAR TEMPAT WARISAN BERSEJARAH

Sejarah Negeri Sembilan bermula di Rembau. Sejarah Rembau pula banyak bermula di kawasan sekitar DUN Kota. Pada hakikatnya Kota mempunyai banyak kesan sejarah sejak mula pembukaan Rembau oleh orang Asal dari keturunan Jakun. Sistem pemerintahan Rembau yang tersusun adalah hasil kesepakatan antara orang Asal keturunan Jakun dengan kaum pendatang Minangkabau dari Sumatera.

Perlantikan Undang Rembau yang pertama iaitu Dato' Sri Rama bin Datuk Lela Balang (Waris Jakun) pada tahun 1540 M adalah merupakan putera dari hasil perkahwinan pembesar dari Pagar Ruyung dan anak Ketua Tok Batin adalah detik permulaan sistem pemerintahan kerajaan Rembau pada ketika itu.

Sepertimana yang diketahui pakar sejarah, kerajaan Rembau banyak memberi bantuan kepada pembesar Melaka selepas kejatuhan Melaka ditangan penjajah Portugis.

Lubok China di Rembau adalah tempat pusat perdagangan orang Cina di rantau ini selepas orang-orang Cina pada ketika itu memboikot untuk berdagang di pelabuhan Melaka yang dikawal Portugis. Manakala Tun Zainal Abidin bin Bendahara Paduka Raja Tun Perak telah dilantik menjadi Dato' Lubok China.

Memandangkan Kota mempunyai banyak kesan sejarah, maka beberapa tempat-tempat bersejarah di Kota ini perlulah dipelihara untuk tatapan generasi kini dan akan datang agar mereka dapat mengenang kembali sejarah bahawa Kota adalah merupakan tempat penyatuan umat di rantau ini.

Secara tidak langsung dengan pengisytiharan Kota sebagai tempat Warisan Bersejarah, ianya akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi di tempat ini.

Antara tempat bersejarah yang terdapat di Kota dan perlu dipelihara ialah :
1. Rumah YTM Dato Lela Maharaja, Dato' Haji Sulong (Undang Rembau ke 17)
2. Surau Batu Kampung Paya (Berhadapan rumah YTM Dato' Haji Sulong)
3. Rumah Tun Abd Malek Yusof (Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama)
4. Telapak YTM Dato' Lela Maharaja, Dato' Haji Ipap (Undang Rembau ke 19), Kampung Kota Lama (bermulanya ketamadunan Kerajaan Rembau)
5. Makam Lela Balang (Ayahanda kepada Undang Rembau Pertama)
6. Makam Tok Bungkal (Bonda kepada Undang Rembau Pertama)
7. Makam Dato' Si Rama (Undang Rembau Pertama)
8. Makam Dato' Ombo (Undang Rembau Kedua)
9. Makam Tok Tua, Kampung Perah
10. Makam Tok Dalam, Kampung Padang Lekok
11. 2 makam lama Batu Nesan Acheh yang terletak di Kg Tanah Datar, Gadong
12. Danau Tasik Emas
13. Kuala Dadih
14. Masjid Lama Kg Selemak
15. Masjid Lama Tanah Datar
16. Masjid Kampung Paya

Disamping itu terdapat beberapa tempat bersejarah di Kota yang telah hilang kesannya iaitu :-
1. Perigi Raja Melewar ketika bersemayam di Penajis. Perigi ini telah dirobohkan ketika pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Penajis.
2. Pusat permerintahan Rembau di Kendong ketika zaman Inggeris. Kawasannya sekarang ialah Pusat Pengembangan Pertanian Kendong

Kota perlu diisytihar sebagai tempat Warisan Bersejarah.

HJ GHAZALI BIN MOHD SHOM
Penyelaras PAS DUN Kota

SumberL http://pas-n28-kota.blogspot.com/2013/04/kenyataan-akhbar-pengisytiharan-dun.html

PAS DUN Kota kesal makam bersejarah terbiar

Rembau 6 April 2013 – PAS DUN Kota melahirkan rasa kesal kerana banyak makam bersejarah di kawasan ini terbiar tanpa penyelenggaraan yang tersusun dan sempurna dari pihak yang berwajib. Menurut Hj Ghazali Mohd Shom, Penyelaras PAS DUN Kota, generasi kini perlu memelihara makam bersejarah ini kerana ianya adalah merupakan makam mereka yang telah banyak berjasa di daerah ini bukan sahaja membangunkan daerah ini, malahan mengembangkan Islam di daerah ini.

Hj Ghazali sempat menziarahi makam Datuk Tajuh yang merupakan peneroka awal Kg Penajuh (Kg Penajis). Kg Penajuh ini mempunyai banyak kesan sejarahnya , dimana tempat ini adalah merupakan tempat pertabalan empat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan termasuk Yang Dipertuan Negeri Sembilan yang pertama iaitu Raja Melewar. Batu nisan yang terdapat di makam Datuk Tajuh ini dipercayai dari jenis batu megalitik sejenis batu ganjil yang hanya terdapat di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu Sdr Rozmal bin Malakan yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau merasa sedih apabila melawat makam Undang Rembau yang pertama iaitu Dato Seri Rama bin Dato Lela Balang di Kg Chengkau Ulu yang meninggal dunia pada tahun 1555 H. Menurut Sdr Rozmal pintu pagar kawasan makam berkenaan didapati telah tiada, manakala atapnya sudah banyak yang pecah. Menurut Sdr Rozmal makam ini adalah amat penting bukan sahaja dalam sejarah Rembau malahan sejarah Negeri Sembilan itu sendiri.

Makam ini yang terletak hanya sekitar 50 meter dari jalan utama Rembau – Tampin sepatutnya boleh dijadikan makam bersejarah yang bukan hanya mampu membangkitkan kesedaran generasi kini akan perit jerih mereka yang meneroka negeri ini, malahan ianya mampu menjana ekonomi pelancongan bersejarah di daerah ini.

Sehubungan dengan itu PAS DUN Kota dan PAS Kawasan Rembau menyeru kepada semua pihak agar lebih prihatin dalam memulihara tempat bersejarah di kawasan ini, lebih-lebih lagi makam bersejarah yang boleh mendatangkan keinsafan kepada kita semua.

Gambar sekitar makam Dato Seri Rama dan Dato Tajuh di http://pas-n28-kota.blogspot.com/2013/04/pas-dun-kota-kesal-makam-bersejarah.html

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts