Tuesday, August 20, 2013

Muzium Negeri Sembilan usaha pulihara warisan sejarah


MAKAM Bungkal Sekudai yang dipulihara Lembaga Muzium Negeri Sembilan di Kampung Kota, Rembau sebagai menghargai sumbangannya dalam institusi Undang Luak Rembau.

REMBAU 16 Ogos - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah menjalankan beberapa usaha memulihara dan mengekalkan warisan bersejarah di negeri ini supaya dapat dipertontonkan kepada generasi muda.

Pengarahnya, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, antara yang dipulihara ialah makam pemimpin adat dan pembesar negeri, yang ketika ini banyak menjadi rujukan dalam kalangan pengkaji sejarah, sama ada untuk tujuan dokumentasi, mahupun projek tesis pengajian mereka.

"Ini juga dapat memberikan ilham dan petunjuk kepada generasi muda terhadap budaya lampau, asal usul sesebuah kawasan serta mengetahui pemimpin yang pernah memegang kuasa di situ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Katanya, usaha terbaharu yang dilakukan oleh LMNS ialah menjalankan usaha murni dengan memulihara Makam Datuk Bungkal yang terletak di Kampung Kota di sini.

"Berdasarkan daripada sumber Balai Undang Luak Rembau, Datuk Bungkal Bendahara Datuk Sekudai adalah seorang wanita yang dilahirkan di Kampung Relong, Rembau di sekitar tahun 1497.

"Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik iaitu Datuk Mudek, Datuk Mengkudu dan Datuk Bungkal," katanya.

Tambah Shamsuddin, semasa zaman kanak-kanak, beliau telah diserahkan oleh ibu bapanya kepada pembesar dari Pagar Ruyong, Sumatera iaitu Datuk Leteh untuk dipelihara kerana ketika itu Leteh berserta rombongan telah membawa pembaharuan dan agama Islam di Rembau.

"Bungkal telah berkahwin dengan seorang pembesar dari Pagar Ruyong, Sumatera iaitu Datuk Lela Balang sekitar tahun 1516 dan memperoleh empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

"Anak perempuan beliau yang sulung bernama Datuk Pundong diikuti Datuk Siti, Datuk Lijah, Datuk Makraman dan anak lelaki ialah Datuk Seri Rama.

"Bungkal bersama dengan Lela Balang iaitu suami beliau berserta dengan pembesar-pembesar yang lain telah bermuafakat melantik seorang penghulu bagi mentadbir kerajaan Rembau," ujarnya.

Tambah Shamsuddin, atas kebulatan anak buah, maka Datuk Seri Rama iaitu anak kepada Lela Balang dengan Bungkal telah dilantik sebagai Undang Luak Rembau yang pertama dan dikerjankan pada tahun 1540.

"Dengan wawasan dan pemikiran yang bernas daripada Bungkal dan Lela Balang, maka Institusi Undang Luak Rembau telah ditubuhkan di sekitar tahun 1540 dan kekal sehingga ke hari ini," ujarnya.

Melihatkan perkembangan itu katanya, LMNS memulihara makam ini untuk menghargai dan mengenang jasa serta sumbangan Bungkal di samping menjadi tempat rujukan.

"Apabila dipulihara diharap dapat menjadi kawasan sumber maklumat berkaitan tokoh terutama dalam hubungannya dengan sejarah Institusi Undang Luak Rembau.

"Adalah diharapkan menerusi kerja-kerja menaiktaraf dan pemuliharaan makam ini nanti akan memperkayakan lagi produk pelancongan yang berasaskan warisan bersejarah yang terdapat di daerah Rembau," ujarnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130817/ws_04/Muzium-Negeri-Sembilan-usaha-pulihara-warisan-sejarah#ixzz2cVGpN0mD © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, August 1, 2013

Nyomondo

BLUES GANG

Kalau bertandang ke bumi adat,
Ikut aturan jangan disanggah,
Hidupnya kito di lingkung adat,
Matinya kito di kandung tanah

Dari Koto poie Soghomban,
Nak daro cantik laei menawan,
Kok tosilap kato kito dihamunkan,
Duduk ontok-ontok jangan melawan

Dongan montuo jangan mombohong,
Takut disumpah jadi keparat,
Bulatnya air kerana pemotong,
Bulat kato kerano mufakat

Chorus
Kalau dah duduk di bumi adat,
Biarlah padi dari lalang,
Pado yang bongsu diboghi mandat,
Silap lari solai sopinggang

Kampong Lado, Tanjung Sonong,
Ulu Sopori, Kampung Pematang
Kito nyomondo tak ado kuaso,
Suruh poei dipanggil datang

Cucunya sayang nak mulo belajar,
Antar sekolah, sekolah tadika
Balik bojomput poie berantar,
Cucu dikundang ateh basikal

Ingat nak pencen sudahlah sampai,
Ghumah pusako kito botolkan
Kito nyomondo bak buah rambai,
Tanah pusako bagai durian

Bilo kito sudah besagho,
Duit pun sikit kurang kuaso,
Tak tahan daulat tanah pusako,
Berangkeklah balik ke porak kito

Chorus
Hati gajah samo dilapah,
Hati kuman samo dicincang,
Sayangkan bini hormat montuo,
Beradat bilo monyomondo

Tido baring besamo cucu,
Atuk dah mulo monjoling-joling,
Di topi Uwan di tongah cucu,
Atuk kono tido mongereng

Belago kono dihimpap rumah,
Kito kono duri durian,
Kito nyomondo di bumi adat,
Untung nasib tuahnya badan

Batu godok, batu tanggo,
Batu giling, batu nesan,
Tak tahan daulat tanah pusako,
Lobih baik pocah sompadan.

Makam Tok Bungkal

Tok Bungkal binti Bendahara Dato Sekudai dilahirkan di Kampung Relong, Rembau sekitar tahun 1497. Beliau merupakan anak bongsu daripada adik beradik Dato Mudek, Dato Mengkudu dan Dato Bungkal. Semasa zaman kanak-kanak beliau telah diserahkan oleh ibubapa beliau kepada Pembesar dari Pagar Ruyung, Sumatera untuk dipelihara kerana Dato Leteh berserta rombongannya telah membawa pembaharuan dan Agama Islam di Rembau pada masa itu. Dato Bungkal telah diIslamkan semasa zaman kanak-kanak lagi.

Dato’ Bungkal telah berkahwin dengan seorang Pembesar dari Pagar Ruyung iaitu Dato Lela Balang sekitar tahun 1515 dan memperoleh 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak perempuan beliau yang sulung bernama Dato Pundong diikuti oleh Dato Siti, Dato Lijah, Dato Makraman dan anak lelaki Dato Seri Rama. Dato Bungkal bersama dengan Dato Lela Balang iaitu suami beliau beserta dengan pembesar-pembesar yang lain telah bermuafakat melantik seorang penghulu bagi mentadbir Kerajaan Rembau. Atas kebulatan anak buah, maka Dato Seri Rama bin Dato Lela balang iaitu anak kepada Dato Lela Balang dengan Dato Bungkal telah dilantik sebagai Undang Luak Rembau yang pertama dan dikerjankan pada tahun 1540. Dengan wawasan dan pemikiran yang bernas dari Dato Bungkal dan Dato Lela Balang maka Institusi Undang Luak Rembau berkekalan sehingga ke hari ini.
Sumber: Balai Undang Luak Rembau

Makam Tok Bungkal bte Batin Sekudai, di Kampung Kota Lama yang telah di baik pulih pada Jun 2013.

Terdapat kesilapan tentang tag nama yang sepatutnya adalah Tok Bungkal bte Batin Sekudai.

Makam Tok Bungkal sebelum dinaik taraf seperti di atas.

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts