Sunday, March 31, 2013

Pulihara makam bersejarah

Ahad, 31 Mac 2013
KOTA – Pas Dun Kota dengan kerjasama Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Rembau mengambil inisiatif melaksanakan projek pemuliharaan tempat bersejarah di daerah ini. Penyelaras Pas Dun Kota, Ghazali Mohd Som berkata, di peringkat Dun berkenaan, pihaknya memilih makam Datuk Lela Balang di Kampung Kota Lama yang sudah terbiar untuk dibersihkan melalui aktiviti gotong-royong.

Menurutnya, sewajarnya makam berkenaan dijadikan sebagai tempat warisan bersejarah kerana ia bukan hanya menjadi tempat tarikan pelancong, malah dapat membangkitkan semangat juang generasi muda apabila mengenali tokoh pemimpin adat mereka sendiri.

“Malah, generasi muda mungkin tidak menyedari banyak fakta sejarah antaranya peranan yang dimainkan masyarakat di Rembau yang terdiri daripada Orang Asli suku Jakun dan kaum pendatang dari Sumatera pada zaman kejatuhan kerajaan Islam Melaka untuk menghalau penjajah Portugis pada ketika itu dari bumi Tanah Melayu dan Nusantara.

“Sekiranya PR menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, kita akan mengusulkan beberapa cadangan dan kertas kerja berkaitan Adat Perpatih serta tempat bersejarah bukan sahaja di Rembau malah di seluruh Negeri Sembilan supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak, baik dari sudut keagamaan, kebudayaan serta ekonomi,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Pas Dun Kota, Izamri Med dan Pengarah 2 Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Rembau, Rozmal Malakan.

Sumber: AANS

Sunday, February 3, 2013

Saturday, February 2, 2013

Gunung Datuk

Gunung di daerah Rembau ini merupakan satu destinasi pelancongan, baik gunung mahupun jeram di kaki gunung ini. Terletak di Hutan Lipur Gunung Datuk, Kota, Rembau. Perjalanan untuk ke sini kira-kira 21 km dari Pekan Rembau dan 15 km dari Pekan Tampin. Gunung ini hanya setinggi lebih kurang 2000 kaki sahaja, ketinggian 2900 kaki itu adalah ketinggian G. Rembau. Sebenarnya dalam peta topo, G.Datok tidak ditulis. Hanya perkataan ‘keramat’ sahaja ditulis pada ketinggian 2000 kaki. G. Datok merupakan puncak permatang yang menganjur dari G. Rembau. Mula dari Tugu Keris Hutan Lipur, pendaki perlu turun ke jeram dan trail bermula dari seberang sungai. Satu jambatan dibina bagi memudahkan pendaki menyeberang sungai. Kecerunan trail hingga ke pondok pertama kebanyakannya hampir 90 darjah. Tali disediakan bagi memudah pendaki berpaut semasa pendakian. Dari pondok pertama kecerunan trail agak berkurangan dan adakalanya landai. Menghampiri puncak trail cerun trail makin menegak. Talian komunikasi boleh diterima disepanjang trail hingga ke puncak.Tapak khemah di puncak gunung sebesar kira-kira sebuah gelanggang bola tampar. Pendaki masih boleh berkhemah disekitar tapak utama perkhemahan berdekatan batuan dan ada juga yang bermalam di gua. Punca air bersih boleh dicapai dengan turun ke lembah dengan perjalanan turun selama 20 ke 45 minit. Ada alur air mengalir di sini. Dari kemsite ke puncak cuma beberapa minit. Pendaki perlu memanjat tangga besi yang disediakan. Keadaan puncak terdiri dari bongkah-bongkah batu besar. Pendaki boleh bersantai di puncak dengan panorama perkampungan serta landasan keretapi selain Selat Melaka saujana mata memandang. Di puncak gunung ini juga terdapat kesan tapak kaki diatas batuan yang dikatakan tapak kaki Hang Tuah. Bayaran Masuk RM3.00 seorang dibayar pada Koperasi JKKK di Balai Utama Hutan Lipur.

Catatan pengembara Gunung Datuk

Wednesday, December 26, 2012

Majlis Menyalang Pusaka Adat

23 Disember 2012 REMBAU - Penyandang pusaka adat diingatkan supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, terutama sekali bagi menyelesaikan masalah 'anak-anak buah' mereka. Lembaga Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Datuk Perba Yahaya Abdul Ghani berkata setiap penyelesaian hendaklah dibuat secara adil dan disegerakan. "Walau bagaimana sukar sekali pun masalah itu, carilah jalan untuk menyelesaikannya," katanya pada majlis menyalang enam orang penyandang pusaka Buapak dan enam orang penyandang pusaka Besar Waris atau Besar Belinkongan Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak Luak Rembau di kediamannya di Kampung Pulau Mampat di sini, hari ini. Selain dapat menempatkan diri dalam majlis-majlis adat, beliau juga mengingatkan semua penyandang pusaka adat dan isteri agar dapat menjalin hubungan yang baik dan mesra dengan masyarakat sekeliling serta dengan 'anak-anak buah'. "Sama-samalah kita menjaga institusi adat ini dengan baik dan berusaha bagi meningkatkan martabat adat ini," katanya. Istiadat menyalang ini adalah istiadat merafak sembah sebagai tanda menjunjung kasih penyandang pusaka baru kepada Datuk Lembaga (Datuk Perba). Istiadat ini dijalankan setelah Buapak dan Besar Waris berkenaan dilantik dan dipersetujui oleh 'anak-anak buah' suku tersebut. Pada istiadat itu Yahaya turut menyampaikan watikah pelantikan dan penyandang pusaka kemudian melafazkan ikrar taat setia mereka. Pada majlis itu, rombongan penyandang pusaka bersama 'anak buah' mengadap dengan beradat dan mempersembahkan 'pancho' dan 'semerit' (buah tangan) kepada Datuk Perba. Mengikut adat, kehadiran mereka dengan rombongan ini menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut. Pelantikan penyandang pusaka adat di Luak Rembau merupakan amalan demokrasi yang diamalkan oleh pengamal adat sejak dahulu lagi. Ia merupakan tanggungjawab setiap ahli dalam suku tersebut sebagai hak dan kebebasan untuk memilih dan dipilih. Kekosongan sesuatu pusaka adat selalunya disebabkan oleh kematian dan 'memuntahkan' pusaka dan sebagainya. - Bernama

Thursday, December 20, 2012

Pemuliharaan Telapak



Pada 23hb yang lalu, saya telah dijemput oleh YM Dato’ Samaraja Dzulkefli bin Ismail, Buapak Kampung Nan Delapan (Buapak Kampung Kota, Biduanda Lela Maharaja) untuk turut serta di dalam lawatan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Balai Undang Luak Rembau ke rumah telapak YTM Dato’ Undang Haji Ipap bin Abdullah, Undang Rembau ke 19 di Kampung Kota Lama. Lawatan ini merupakan susulan permohonan YM Dato’ Samaraja Dzulkefli untuk memulihara rumah telapak makam Tok Bungkal bagi tujuan menjaga sejarah permulaan sejarah Rembau dan dijadikan pusat sumber maklumat sejarah Rembau.Turut hadir bersama Pengarah Politeknik Port Dickson, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dato’ Perba, Dato’ Raja, Penolong Pegawai Daerah Rembau dan kakitangan LMNS. Perbincangan berkisar hasrat pemilik rumah untuk menjadi rumah telapak YTM Dato’ Ipap sebagai pusat maklumat sejarah Rembau. Ini adalah bersesuaian kedudukan rumah itu terletak di kampung asal dan bermulanya sejarah Rembau iaitu Kampung Kota. .Bersebelahan rumah ini, terletaknya makam Tok Bungkal dan suaminya, Dato’ Lela Maharaja. Kedua-duanya merupakan pendiri institusi Undang Rembau yang diwarisi oleh suku Biduanda Jakun dengan gelaran “Lela Maharaja“. Kemudiannya, jawatan Undang Rembau digilirkan di antara Biduanda Jakun dan Biduanda Jawa.


Sebaik sahaja selesai perbincangan di rumah, kami telah melawat kawasan makam. Saya dapati kawasan pokok buluh telah dibakar oleh penduduk kampung. Saya tidak faham kenapa pokok buluh tersebut dibakar kerana ia merupakan kawasan makam lama. Makam Dato’ Lela Balang terletak di dalam rumpun buluh yang dibakar.
Lanjutan daripada pertemuan yang pertama, LMNS telah bersetuju untuk menyediakan kertas cadangan memulihara semula rumah YTM Dato’ Undang Haji Ipap dan kawasan makam. Pada 29hb Oktober, Kurator LMNS dan konsultan telah melawat kawasan bagi menyediakan kertas cadangan. Saya dijemput untuk turut serta di dalam lawatan ini.


Rumah telapak YTM Dato’ Haji Ipap, Undang Rembau ke 19





Makam Tok Bungkal

Makam Dato’ Lela Balang



Sumber: Nagarinantuo

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts