Showing posts with label Senibina Negeri Sembilan. Show all posts
Showing posts with label Senibina Negeri Sembilan. Show all posts

Thursday, December 20, 2012

Pemuliharaan Telapak



Pada 23hb yang lalu, saya telah dijemput oleh YM Dato’ Samaraja Dzulkefli bin Ismail, Buapak Kampung Nan Delapan (Buapak Kampung Kota, Biduanda Lela Maharaja) untuk turut serta di dalam lawatan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Balai Undang Luak Rembau ke rumah telapak YTM Dato’ Undang Haji Ipap bin Abdullah, Undang Rembau ke 19 di Kampung Kota Lama. Lawatan ini merupakan susulan permohonan YM Dato’ Samaraja Dzulkefli untuk memulihara rumah telapak makam Tok Bungkal bagi tujuan menjaga sejarah permulaan sejarah Rembau dan dijadikan pusat sumber maklumat sejarah Rembau.Turut hadir bersama Pengarah Politeknik Port Dickson, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dato’ Perba, Dato’ Raja, Penolong Pegawai Daerah Rembau dan kakitangan LMNS. Perbincangan berkisar hasrat pemilik rumah untuk menjadi rumah telapak YTM Dato’ Ipap sebagai pusat maklumat sejarah Rembau. Ini adalah bersesuaian kedudukan rumah itu terletak di kampung asal dan bermulanya sejarah Rembau iaitu Kampung Kota. .Bersebelahan rumah ini, terletaknya makam Tok Bungkal dan suaminya, Dato’ Lela Maharaja. Kedua-duanya merupakan pendiri institusi Undang Rembau yang diwarisi oleh suku Biduanda Jakun dengan gelaran “Lela Maharaja“. Kemudiannya, jawatan Undang Rembau digilirkan di antara Biduanda Jakun dan Biduanda Jawa.


Sebaik sahaja selesai perbincangan di rumah, kami telah melawat kawasan makam. Saya dapati kawasan pokok buluh telah dibakar oleh penduduk kampung. Saya tidak faham kenapa pokok buluh tersebut dibakar kerana ia merupakan kawasan makam lama. Makam Dato’ Lela Balang terletak di dalam rumpun buluh yang dibakar.
Lanjutan daripada pertemuan yang pertama, LMNS telah bersetuju untuk menyediakan kertas cadangan memulihara semula rumah YTM Dato’ Undang Haji Ipap dan kawasan makam. Pada 29hb Oktober, Kurator LMNS dan konsultan telah melawat kawasan bagi menyediakan kertas cadangan. Saya dijemput untuk turut serta di dalam lawatan ini.


Rumah telapak YTM Dato’ Haji Ipap, Undang Rembau ke 19





Makam Tok Bungkal

Makam Dato’ Lela Balang



Sumber: Nagarinantuo

Monday, October 3, 2011

RUMAH MELAYU NEGERI SEMBILAN







Rumah dan perkampungan merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Ianya juga menjadi asas kepada kajian sosio-budaya masyarakat tersebut.

Rumah dan pembinaannya dapat menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang yang mendiaminya. Di Negeri Sembilan, reka bentuk rumah orang Melayu agak unik yang melambangkan keunikan masyarakat adat perpatih yang diamalkan oleh orang-orang Negeri Sembilan.

Rumah Melayu Tradisional mempunyai daya tarikan yang tersendiri di mana setiap binaan dan struktur asas rumah seperti tiang, bumbung, bendul, tingkap dan tangganya dikatakan dibina dengan mewakili pelbagai maksud yang tersendiri. Senibina rumah berkenaan sering dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat melayu dan hubungan mereka yang sangat erat dengan alam sekitar.

Sekiranya kita melangkah ke Negeri Sembilan pasti kita bertemu dengan rumah orang Melayu yang hampir serupa bentuknya. Di Taman Seni, Seremban terdapat sebuah model rumah Melayu Negeri Sembilan yang telah tua usianya. Namun dalam ketuaan usianya itu, banyak rahsia sejarah silam tersimpan.

Model Rumah Melayu Negeri Sembilan ini telah dibina pada tahun 1921. Ianya juga menggambarkan corak seni bina rumah-rumah Melayu Negeri Sembilan secara keseluruhannya. Model rumah Melayu ini pada asalnya terletak di atas tanah tinggi di persimpangan Jalan Tasik dan Jalan Dunman dalam bandar Seremban sebelum dipindahkan ke Taman Seni Negeri Sembilan.

Sebagaimana rumah Melayu Negeri Sembilan lazimnya, model rumah Melayu Negeri Sembilan ini juga menyamai reka bentuk rumah adat Minangkabau. Ini merupakan pengaruh yang jelas ke atas rumah-rumah Melayu Negeri Sembilan keseluruhannya. Dan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi, kerana kebanyakan orang-orang Melayu Negeri Sembilan adalah berasal dari Minangkabau.

Jika ditinjau dengan teliti dan mendalam mengenai konsep binaan rumah Melayu Negeri Sembilan, ia begitu lengkap dari segi susunan dan perancangannya. Dengan memfokuskan kepada model rumah Melayu Negeri Sembilan, kita dapati ianya meniru reka bentuk Minangkabau. Ia mempunyai bumbung panjang dan lentik dengan kedua-dua hujung bumbungnya naik ke atas sedikit. Seperti rumah Melayu lain ia juga mempunyai rumah ibu, atau rumah tengah serambi serta loteng dan pada dindingnya mempunyai ukiran-ukiran yang menarik sekali. Antara ciri lain adalah berlantai tinggi dari tanah dan bertangga kayu.

Model rumah Melayu Negeri Sembilan ini diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi dan atapnya juga daripada kayu. Rumah ini juga agak sederhana besarnya iaitu 17.8 meter x 2.7 meter panjang dan 7.8 meter x 0.9 meter lebar. Ia mempunyai 16 batang tiang utama; justeru itu ia juga dikenali sebagai Rumah Tiang 16.

Seperti rumah-rumah Melayu tradisional, rumah ini juga diserikan dengan ukiran-ukiran yang menarik pada bahagian hadapan rumah. Ukiran ini menambahkan lagi mutu seni rumah tersebut yang bukan sahaja kukuh dari segi binaannya tetapi juga indah dan bernilai dari segi reka bentuk seninya. Oleh sebab itulah Model Rumah Melayu ini telah dipamerkan di London pada tahun 1924 dalam Pameran Great Wembly. Kini model Rumah Melayu Negeri Sembilan ini masih berdiri tegak di Taman Seni Negeri Sembilan sebagai bangunan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Berhampiran dengan Model Rumah Melayu Negeri Sembilan ini, terdapat sebuah lagi bangunan lama yang iaitu Istana Ampang Tinggi. Istana Ampang Tinggi juga merupakan istana yang mempunyai pengaruh reka bentuk Minangkabau. Ia berbumbung panjang dan lentik. Selain daripada reka bentuknya, keindahan atau seni ukiran yang terdapat di dinding, pintu, tangga dan lain-lain bahagian istana ini juga merupakan keistimewaannya. Istana ini juga dibina tanpa menggunakan paku besi.

Kebanyakan ukiran-ukiran yang terdapat di Istana ini mempunyai motif-motif tertentu khususnya motif awan larat, bunga semantung, bunga tampuk manggis dan berbagai-bagai jenis motif bunga-bungaan. Sesungguhnya ukiran-ukiran ini melambangkan ketinggian mutu seni ukiran dan budaya Melayu sendiri.

Istana ini juga mempunyai loteng, iaitu salah satu ciri bagi rumah-rumah Melayu tradisional Negeri Sembilan. Di bahagian ini biasanya merupakan tempat menyimpan barang-barang berharga dan juga tempat beradu puteri-puteri.

Istana Ampang Tinggi ini telah dibina pada masa pemerintahan Yamtuan Ulin (Yamtuan Imam), Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang kelima di antara tahun 1861-1869. Istana ini pernah menjadi tempat bersemayam Tunku Muhammad, Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan Ketujuh. Bagaimanapun pada tahun 1928, Istana ini tidak menjadi tempat bersemayam baginda lagi dan ianya dijaga oleh kerabat-kerabat baginda. Pada tahun 1953 Istana ini dipindahkan ke Seremban dan dijadikan Muzium Negeri.

Kedua-dua bangunan Model Rumah Melayu Negeri Sembilan dan Istana Ampang Tinggi ini kini menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke Taman Seni Negeri Sembilan. Sesungguhnya bangunan-bangunan tersebut merupakan hasil seni bina orang-orang Melayu yang mempunyai kreativiti yang tinggi dan ianya memancarkan sifat warisan budaya nenek moyang dahulu. Hasil seni yang bermutu itu lahir dari proses evolusi; dibentuk oleh zaman dan di dalamnya tersirat dan terjalin aspek budaya Melayu yang menjadi kebanggaan generasi kini.


Sumber: Arkib Negara Malaysia

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts