Tuesday, December 31, 2013

KEUNIKAN ADAT PERPATIH

Adat ialah hukum hidup dan juga merupakan peraturan yang diamalkan oleh sesebuah komuniti masyarakat yang muncul secara turun-temurun yang wajib dipatuhi dan diamalkan dari satu generasi ke satu generasi yang akan datang. Timbulnya dan wujudnya adat adalah semenjak zaman awal, iaitu semenjak sesuatu kawasan itu belum diterokai. Buktinya dapat dilihat melalui pepatah tersebut:

Adat semenda-menyemenda 
Jangan hukum tak menghambat 
Adat tak menghalang

Bila dilihat tentang Adat Perpatih Negeri Sembilan, ianya membawa maksud yang sangat luas dan kompleks. Adat Perpatih Negeri Sembilan ini adalah merupakan satu undang-undang yang kompleks kerana Adat Perpatih Negeri Sembilan mengandungi segala undang-undang dan tatatertib atau lebih molek lagi disebut sebagai sebuah perlembagaan. Adat Perpatih Negeri Sembilan di anggap sebagai undang-undang atau peraturaan itu dapat dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

a) Adat yang sebenarnya adat yang asasi seperti menterbitkan keturunan daripada sebelah ibu, hidup bersuku-suku, beraja berundang, berlembaga, tanah pesaka adat dan lain-lain lagi.
b) Adat yang diadatkan iaitu suatu yang disusunkan mengikut muafakatnya kemudian dijadikan adat.
c) Adat yang teradat iaitu kata muafakat yang telah diadatkan (resam) dan keadaannya berbeza antara satu tempat dengan yang lain.
d) Adat istiadat iaitu adat-adat resam yang terdapat dalam sesuatu upacara seperti adat istiadat perkahwinan, barkadim dan sebagainya.

 Berdasarkan kepada kategori yang dinyatakan, adat yang sebenar adat itulah yang dikatakan sebagai ‘undang-undang’. Sesiapa yang melanggar adat tersebut haruslah menerima hukuman di atas perbuatannya. Oleh yang demikian dapat dilihat bahawa adat wajib dijadikan panduan dan pegangan hidup. Maka di sini lahirlah pepatah yang berbunyi:

Ibu adat muafakat 
Bapa adat berani 
Adat yang bersendi hukum 
Hukum bersendi Kitabullah 
Menghukum adil berkata benar 
Tidak ada berpihak-pihak 
Hukum adil dijalankan 
Nan benar dianjak tidak

Adat ini juga bermaksud suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yng saling bergantung dan sama. Adat yang ditafsirkan tadi adalah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaannya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

Adat dan budaya adalah dua entiti yang terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah. Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu boleh kita katakan adat sebagai budaya yang asal.

Adat Perpatih sungguh tinggi nilai hidup bermasyarakat. Adat Perpatih berintisarikan nilai hidup yang lengkap, sesuai untuk kegunaan bimbingan masyarakat dari zaman ke zaman dan menitikberatkan hidup tolong menolong. ‘Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah’. Negeri Sembilan telah mengamalkan Adat Perpatih sejak 600 tahun yang lalu. Adat Perpatih yang menjadi amalan merangkumi suatu sistem sosiobudaya yang kompleks, lengkap dan murni bahkan adat tersebut telah bersedia untuk menerima penyesuaian dengan keadaan serta kehendak zamannya.

Usang-usang diperbaruhi 
Lapuk-lapuk dikajangi 
Yang elok dipakai 
Yang buruk dibuang
Kalau singkat minta disambung 
Kalau panjang minta dikerat 
Kalau koyak minta ditampal 

Sistem Adat Perpatih boleh membina masyarakat yang bersopan santun, berbudi bahasa, adil, sejahtera dan bersatu padu. Ini akan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan sukar untuk melanggar peraturan yang wujud dalam lingkungan sosialnya. Adat Perpatih adalah suatu sistem sosial yang kompleks dan peraturan hidup yang sistematik berdasarkan keharmonian hidup bermasyarakat serta mempunyai konsep dan ideologi yang disedari dengan jelas. Berasaskan amalan, falsafah dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya, maka Adat Perpatih boleh dijadikan paksi keintelektualan dan amat praktikal untuk dijadikan panduan hidup harian masyarakat hari ini. Seperti kata perbilangan;

Dianjak layu 
Dicabut mati 
Gemuk berpupuk 
Segar bersiram 

Kata tersebut membawa maksud, adat itu tidak akan hidup jika tidak dipelihara, diamalkan, dijaga dan dibajai kerana adat mempunyai nilai-nilai kerohanian dalam membentuk lahiriah manusia. Pemahaman yang tepat terhadap perbilangan adat yang mengandungi makna konotatif dan denotatif membolehkan individu itu bertingkah laku dan menyesuaikan diri mengikut kehendak masyarakat setempat. Jika diperhalusi penyampaian sesuatu maksud itu mencerminkan kehalusan dan pemikiran tinggi pengamalnya. Bagi pengamal Adat Perpatih setiap aspek kehidupan itu ada nilai dan falsafanya yang tersendiri. Adat Perpatih tidak hanya dipraktikkan dalam urusan adat semata-mata tetapi adat ini mengajar masyarakatnnya bagaimana hidup bermasyarakat.

Tegak rumah kerana sendi 
Runtuh sendi rumah binasa 
Sendi bangsa adalah budi 
Runtuh budi runtuhlah bangsa 
Adat bersaudara, saudara dipertahankan 
Adat berkampung, kampung dipertahankan 
Adat bernegeri, negeri dipertahankan 
Adat berbangsa, bangsa dipertahankan. 

Ini menunjukkan setiap ahli masyarakat dimestikan patuh kepada pemimpin dan masyaarakatnya serta tidak mementingkan diri sendiri. Individu tidak dapat berbuat sesuatu dengan hanya menurut kehendak hatinya semata-mata tetapi apa yang dilakukan mestilah menjaga maruah masyarakatnya, “bak telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semuanya”

Bukit sama didaki 
Lurah sama dituruni 
Yang berat sama dipikul 
Yang ringan sama dijinjing 
Duduk sama rendah 
Berdiri sama tinggi 

 Adat Perpatih amat unik. Didalamnya terkandung penggunaan pepatah dan petitih menerusi bahasa berlarik dan berirama yang begitu indah di dengar. Ungkapan-ungkapan tersebut mengandungi kehendak dan maksud tertentu sebagai peraturan dan undang-undang. Lebih menarik lagi dalam ungkapan yang dilahirkan tidak memaparkan maksud secara terus atau tersurat tetapi mengandungi makna yang tersirat. Kata-katanya pendek dan ringkas, namun mempunyai unsur pemikiran, falsafah dan kebenaran. Secara langsung, bahasa perbilangan Adat Perpatih memancarkan kehalusan perasaan yang diimbangi oleh keluasan, kedalaman serta ketajaman pemikiran pendukung Adat Perpatih terhadap alam yang berlandaskan kehidupan serta aktiviti sosial, ekonomi dan politik masyarakat dan alam sekitarnya.

No comments:

Post a Comment

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts