NOTA :
ADA SEDIKIT MASALAH TEKNIKAL KE ATAS CATATAN YANG DIHASILKAN PADA
31 MAC 2013 INI. SAYA STRUKTURKAN SEMULA CATATAN YANG AGAK DIBERI PERHATIAN
OLEH PENGUNJUNG BLOG. CATATAN INI TELAH DILAWATI SEBANYAK 3636 KALI.
JIKA SUDI SILA LIHAT KAITAN (LINK) CATATAN INI DENGAN " KAHWIN SAMA SUKU : HUKUMANNYA ".
Secara umumnya, sesiapa pon termasuk mereka yang bukan Orang Negeri Sembilan memahami bahawa Sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan tidak membenarkan perkahwinan di kalangan keturunan yang sama SUKU. Contoh, seorang lelaki dari keturunan Suku Biduanda tidak boleh berkahwin dengan perempuan yang juga dari keturunan Suku Biduanda. Benarkah?
Suku Biduanda di Luak Rembau terbahagi kepada dua Sub-Suku - Suku
Biduanda Lela Maharaja dan Suku Biduanda Sedia Raja. Saya memohon maaf kerana
di atas kedangkalan ilmu menggunakan istilah ‘Sub-Suku’. Mungkin ada terma
dalam teromba adat perpatih yang lebih tepat lagi.
Dipercayai bahawa di antara pendatang terawal Minangkabau ke Rembau
adalah kumpulan yang diketuai oleh Dato Leteh. Ketika itu Rembau dikuasai oleh
penduduk asal yang diketuai oleh Tok Batin Sekudai. Bagimanapun, kumpulan
pendatang Minangkabau dan penduduk asal Rembau menjalin hidup dalam suasana
harmoni sehinggakan Tok Batin Sekudai sanggup menyerahkan anak perempuannya
yang bernama Dato’ Bungkal kepada Dato Leteh untuk dijadikan anak angkat.
Selepas itu satu lagi kumpulan pendatang Minangkabau yang diketuai
oleh seorang Pembesar Minangkabau bernama Dato’ Lela Balang datang dan menetap
di Rembau. Akhirnya Pembesar Minangkabau itu (Dato’ Lela Balang) berkahwin
dengan anak angkat kepada Dato’ Leteh itu, yaani Dato’ Bungkal bt. Batin
Sekudai.
Pasangan itu memperolehi lima orang anak – 4 orang perempuan dan
seorang lelaki. Anak-anak peremuan pasangan Dato’ Lela Balang dan Dato’ Bungkal
bt. Batin Sekudai ialah; Datuk Pandung, Datuk Siti, Datuk Lijah dan Datuk
Makraman. Anak lelaki bernama Dato’ Seri Rama.Dari keturunan anak-anak
perempuan pasangan inilah lahirnya keturunan Suku Biduanda Lela Maharaja di
Rembau.
PAPAN
TANDA MAKAM PURBA ALMARHUM UNDANG LUAK REMBAU
PERTAMA
& PUAN ISTERI
Makam
ini terletak di kawasan terpencil di Kampung Chengkau Ulu
Untuk menyempurnakan ‘ Grand Design’ yang kesannya kekal hingga
hari ini, Dato’ Seri Rama (Anak lelaki pasangan Dato’ Lela Balang dan Datuk
Bungkal bt. Batin Sekudai) ‘ dikahwinkan’ (berkahwin) dengan anak perempuan
kepada seorang lagi Pembesar Minangkabau, iaitu Dato’ Laut Dalam yang bernama
Siti Hawa bt. Dato’ Laut Dalam. Dari keturunan pasangan inilah ( Dato’
Seri Rama dan Siti Hawa bt. Dato’ Laut Dalam) bermulanya keturunan
Suku Biduanda Sedia Raja di Rembau.
MAKAM
PURBA ALMARHUM UNDANG LUAK REMBAU PERTAMA DAN PUAN ISTERI
Secara kasar kompromi tersebut dilihat melunaskan hajat Dato’ Laut
Dalam. Bagaimanapun, satu perkara penting yang disisip secara bijak ialah
dominasi keturunan Dato’ Bungkal binti Tok Batin Sekudai (Dato’ Lela Balang)
dalam menerajui Adat Perpatih di Rembau tidak diusik. Dengan mengatur
perkahwinan Dato’ Seri Rama/Siti Hawa bt. Dato’ Laut Dalam, keturunan Dato’
Bungkal bt. Tok Batin Sekudai yang juga adalah penduduk asal Rembau masih kekal
sebagai kuasa dominan dalam menerajui Adat Perpatih di Rembau.
Keturunan Suku Biduanda Lela Maharaja adalah dari keturunan
anak-anak perempuan Dato’ Bungkal bt. Batin Sekudai. Keturunan Suku Biduanda
Sedia Raja pula adalah dari keturunan cucu-cucu Dato’ Bungkal bt Tok Batin
Sekudai (melalui perkahwinan anak lelakinya, Dato’ Seri Rama dengan Siti Hawa
bt. Dato’ Laut Dalam).
Dato’ Seri Rama dilantik menjadi Undang Luak Rembau Pertama ( 1540
– 1555) dengan gelaraan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Seri Rama. Gelaran Lela
Maharaja adalah berdasarkan nasab di sebelah ibunya ( Dato Bungkal bt. Batin
Sekudai).
Anak lelaki pasangan Dato’ Seri Rama bin Dato’ Lela Balang/Siti
Hawa bt. Laut Dalam yang bernama Dato’ Ambo (Ombo) bin Dato’ Seri Rama dilantik
menjadi Undang Luak Rembau Ke-2 ( 1555 – 1605) dengan gelaran Dato’ Sedia Raja
Dato’ Ambo (Ombo) bin Dato’ Seri Rama.
Begitulah secara ringkas pertalian persaudaraan diantara keturunan
Suku Biduanda Lela Maharaja dengan Suku Biduanda Sedia Raja. Keturunan Suku
Biduanda Lela Maharaja bermula dari keturunan anak-anak perempuan Dato’ Bungkal
bt. Batin Sekudai. Sementara itu keturunan Suku Biduanda Sedia Raja adalah
bermula dari keturunan anak lelaki Dato’ Bungkal bt. Batin Sekudai, iaitu
Undang Luak Rembau Pertama Dato’ Seri Rama yang berkahwin dengan Siti Hawa bt.
Dato’ Laut Dalam. Saya tidak berani memuktamadkan bab ini kerana tidak
mempunyai maklumat mengenai anak-anak perempuan pasangan Dato’ Seri Rama/ Siti
Hawa bt. Dato’ Laut Dalam. Bagaimanapun, mengikut Sistem Adat Perpatih yang
‘matrilineal’ ( nasab suku mengikut nasab ibu), keturunan suku diambilkira dari
keturunan sebelah anak perempuan.
Dalam sistem Adat Perpatih di Daerah Rembau, anak lelaki dari
kedua-dua keturunan ini (Keturunan Suku Biduanda Lela Maharaja dan Suku
Biduanda Sedia Raja) sahaja yang layak dipilih dan dilantik sebagai Undang Luak
Rembau secara bergilir-gilir.
Dalam perbualan seharian, seseorang itu samada dari Suku Biduanda
Lela Maharaja atau Suku Biduanda Sedia Raja akan disebut sebagai Suku Biduanda
sahaja tanpa menyebut samada Suku Biduanda Lela Maharaja atau Sedia Raja.
Kebiasaannya, sebutan Suku Biduanda Lela Maharaja atau Sedia Raja cuma
diperincikan dalam majlis adat yang bersifat formal sahaja.
Berbalik kepada persoalan awal, benarkah perkahwinan sesama Suku
tidak dibolehkan?
Melalui pemerhatian terhadap amalan perkahwinan keturunan Suku
Biduanda di kampung halaman sendiri ( keturunan Suku Biduanda menetap di banyak
kampung dalam Daerah Rembau), saya mendapati bahawa berlaku dan tiada
halangan bagi anak adat berkahwin sesama Suku Biduanda dengan syarat pasangan
tersebut hendaklah dari Sub-Suku yang berlainan ( Suku Biduanda Lela
Maharaja atau Suku Biduanda Sedia Raja). Contoh, seorang dari keturunan Suku
Biduanda Lela Maharaja boleh berkahwin dengan seorang dari keturunan Suku
Biduanda Sedia Raja. Sebaliknya, seseorang itu tidak dibolehkan berkahwin
sesama Sub-Suku.
Undang Luak Rembau sekarang ialah Undang Luak Rembau Ke-21, Dato’
Lela Maharaja Haji Muhamad Sharif bin Haji Othman ( 1998 hingga sekarang) dari
Suku Biduanda Lela Maharaja.
Catatan ini adalah dari pemerhatian saya mengenai Suku Biduanda di
kampung sendiri. Catatan ini adalah catatan orang biasa yang dibesarkan dalam
masyarakat yang tegar mengamalkan Adat Perpatih. Namun, dalam tempoh yang
terlalu panjang, saya telah bermastautin ke luar daerah adat. Saya akui tidak mendalami
selok-belok Adat Perpatih. Saya berlapang dada dengan teguran, membetulkan atau
menokok tambah info yang kurang tepat dalam catatan ini.
Ujang Kutik: http://ujangchengkau.blogspot.my/2013/03/negeri-sembilan-kahwin-sama-suku.html
Kenapa dipanggil sub suku. Istilah yg lebih tepat ialah suku bidianda nan 2 carak. (Biduanda waris)
ReplyDeleteSuku biduanda ada 2 iaitu biduanda waris ( penyandang pesaka undang) Dan biduanda dagang (bukan penyandang). Dikenali juga sebagai waris di air Dan waris di darat. Antara penempatan suku biduanda dagang (bukan penyandang undang) ialah di sawah raja, kg. Relong, kg Lada Dan kg perah. Walllahualam