Sunday, October 18, 2015

Pelihara kemuliaan Adat Perpatih

ARKIB : 12/03/2009

Pelihara kemuliaan Adat Perpatih

PERTIKAIAN siapakah sebenarnya yang harus memegang jawatan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba, Lembaga Waris Dua Carak, Luak Rembau masih terus menjadi perdebatan di kalangan rakyat Negeri Sembilan.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan pada 26 Mac 2007 yang menolak penghakiman pernyataan fitnah ke atas Datuk Dr. Ismail Shamsuddin oleh 10 pemimpin Undang Luak Rembau.
Sebelas tahun sebelumnya, kedudukan Ismail sebagai Datuk Sedia Lela/Datuk Perba dilucutkan kerana tuduhan salah guna kuasa dan beberapa pertuduhan lain. Pelucutan itu membuatkan Ismail tidak dapat mewarisi pesaka Undang Luak Rembau ke-21.
Sebaliknya jawatan itu diberikan kepada Datuk Sedia Utama/Datuk Shahbandar Mohd. Sharip Othman yang dimasyhurkan pada 21 November 1998 dan masih memegang jawatan itu sehingga kini.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah dua tahun lalu yang berpihak kepada Ismail dengan sendirinya menggugat struktur institusi Undang Rembau ketika ini. Pelantikan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba yang dibuat selepas pemecatan Ismail dianggap tidak sah.
Begitu juga penyandang pesaka Undang yang dilantik oleh Datuk Sedia Lela/Datuk Perba sekarang juga tidak sah dari segi adat dan Perlembagaan negeri.
Sementelah Undang Rembau yang ada ketika ini dilantik oleh Datuk Sedia Lela/Datuk Perba yang mengambil alih jawatan selepas pemecatan Ismail. Mengikut adat, Datuk Sedia Lela/Datuk Perba tidak ada kuasa dan ditegah oleh adat melantik Undang.
Tugas Datuk Sedia Lela / Datuk Perba ialah setakat mencari "beneh" Undang untuk dikemukakan kepada Lembaga Tiang Balai. Yang berkuasa melantik Undang hanyalah dengan kebulatan Lembaga Tiang Balai (berempat di baruh dan berempat di darat).
Permasyhurannya juga hanya boleh dibuat oleh Datuk Gempa Maharaja dan bukan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba seperti yang berlaku dalam pelantikan Undang Rembau ketika ini.
Sedikit latar belakang mengenai apa yang berlaku dalam isu jawatan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba Luak Rembau itu menimbulkan tanda-tanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak berlangsung mengikut adat.
Ia juga membuka perbincangan dan perdebatan yang tidak sihat, apatah lagi isu ini sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun.
Antaranya seperti yang dijelaskan Ismail, sama ada Undang Rembau dapat menjalankan tanggungjawab, kewajipan, amanah dan tugas masing-masing. Paling penting, adakah Luak Rembau hari ini ditadbir mengikut Adat Perpatih iaitu Perlembagaan Adat dan Istiadat Rembau, Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sembilan,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sewajarnya berdasarkan persetujuan antara Undang-Undang Luak dan Kerajaan, masalah Luak perlu diselesaikan di Luak masing-masing.
Begitu juga dalam isu di Rembau, Undang Rembau dan Lembaganya iaitu Lembaga Tiang Balai dan Lembaga Suku Nan 12 adalah satu-satunya pihak yang berkuasa di peringkat Luak untuk menyelesaikannya.
Perkara ini jelas Ismail, turut ditekankan oleh kerajaan negeri atau Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang menasihatkan Undang Rembau menyelesaikan perselisihan. Malangnya sehingga kini, Undang Rembau selaku Ketua Pentadbir Adat dan Istiadat Luak mengambil sikap "seolah-olah tidak peduli".
"Maka, penyelesaian kini sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri,'' tegasnya.
Ini kerana Undang tidak lagi memiliki kuasa mutlak sebaliknya terikat dengan Perlembagaan. Antaranya seperti diperincikan dalam Bahagian 1, Seksyen 14 dan 15 Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.
Sewajarnya dengan pengalaman, kepakaran dan ruang termasuk undang-undang, kerajaan negeri perlu bijak menangani isu adat yang sedang berbangkit.
Ia juga selaras dengan perbilangan adat yang berbunyi: "Kena di mata jangan dipecengkan, kena di perut jangan dihempiskan, kalau diukur sama panjang, kalau dikerat sama pendek, kalau ditimbang sama berat."
Bukan bermaksud untuk mempertahankan jauh sekali berjuang atas kepentingan peribadi sesiapa. Sebaliknya pendedahan ini adalah atas dasar rasa hormat dan menjunjung tinggi kemuliaan Adat Perpatih.
Dalam sejarah, tidak ada mana-mana tamadun di dunia yang memiliki keunikan adat seperti yang diwarisi oleh Negeri Sembilan.
Selama lebih 600 tahun, Adat Perpatih diamalkan sesuai dengan perbilangan: "Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah SWT."
Bagi melingkungi Perlembagaan negara dan negeri, perbilangan itu dipanjangkan yang berbunyi: "Dua sejalin, tiga sepilin. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung."
Jika ditanya kepada generasi muda hari ini, tidak ramai yang benar-benar memahami Adat Perpatih waima di kalangan anak watan Negeri Sembilan sendiri.
Di kalangan orang luar pula pemahamannya lebih parah. Adat Perpatih lebih sinonim dinilai sebagai memberi hak dan keistimewaan yang besar kepada kaum wanita.
Justeru adalah tidak wajar untuk Adat Perpatih diburukkan lagi dengan isu perebutan seperti ini yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan peraturan adat. Pertelingkahan yang berpanjangan memberi implikasi yang buruk kepada Institusi Undang/Adat dan kerajaan.
Masyarakat akan hilang keyakinan kerana keputusan yang tidak tepat, wajar dan adil dalam beberapa peristiwa dan kepincangan adat yang berlaku sebelum ini.
Justeru, peluang dalam berdepan dengan kemelut Luak Rembau ketika ini perlu direbut dalam mengembalikan semula kepercayaan masyarakat.
Pastinya perebutan jawatan Datuk Sedia Lela, Lembaga Waris Dua Carak ini tidak mahu diakhiri dengan penyelesaian yang membelakang adat seperti menceroboh Balai.
Amat memalukan sekiranya persengketaan ini dibiarkan berpanjangan, lebih banyak cacat-cela penyandang jawatan di Luak Rembau bakal ditelanjangkan.
Sedangkan ia boleh diselesaikan dengan campur tangan Datuk Seri Utama dengan perundangan adat sedia ada. Seharusnya kepentingan rakyat, luak, negeri dan negara diberikan keutamaan berbanding kepentingan peribadi.
Ia juga mematuhi perbilangan adat yang menyebut: "Sosa ikat kebolat, sosa bolat ke tebing, sosa tebing, tebing runtuh."




No comments:

Post a Comment

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts