Tuesday, April 5, 2016

LUAK REMBAU TERUSKAN TRADISI


NOR AINNA HAMZAH
5 APRIL 2016
Barisan pusaka adat dan wakil sukunya yang akan menjalankan istiadat menyalang.




REMBAU – Hidup dalam lingkungan adat.
Luak Rembau dikenali dengan jolokan 'Daerah Beradat' meneruskan tradisi Istiadat Menyalang Dato’ Lembaga dan Buapak Delapan Kampung Suku Biduanda Luak Rembau kali ke-7 di Kediaman Rasmi Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Rembau, di sini, semalam.
Datuk Lembaga Suku Waris Nan Dua Carak Delapan Kampung, Dato' Perba Yahaya Abd Ghani berkata, istiadat bagi membolehkan penyandang pusaka baru iaitu empat datuk lembaga adat dan juga seorang buapak menjunjung kasih melalui istiadat merafak sembah kepada Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman dan Yang Teramat Mulia Tok Puan.
Menurutnya, istiadat dilakukan menarik kehadiran lebih 1,000 tetamu terdiri daripada pemimpin masyarakat, dan anak Rembau pelbagai suku khususnya yang menyertai istiadat hari ini iaitu suku Biduanda Setia, Seri Lemak, Batu Belang, Anak Melaka dan Biduanda Lela Maharaja.
“Hari ini adalah proses terakhir bagi meraikan penyandang pusakan baru setelah mengisi kekosongan jawatan datuk lembaga adat atau buapak baik atas sebab kematian, perletakan jawatan mahupun pelucutan jawatan.    
“Terdapat tiga peringkat perlu dilalui seseorang individu sebelum dilantik. Pertama ialah individu yang layak memegang jawatan dipilih buapak dan anak buah melalui majlis kerapatan di suku masing-masing.
Yahaya berkata, individu ini kemudiannya akan melalui peringkat kedua iaitu ditemu bual datuk lembaga adat lain di Balai Undang sebelum benar-benar terbukti layak memegang amanah sebagai pemimpin adat.
“Setelah proses ini selesai, individu dilantik tidak kira usia akan meneruskan istiadat menyalang dan kemudiannya disampaikan sebilah keris pusaka, sepersalinan baju dan juga watikah pelantikan Undang Luak Rembau.
Menurutnya, pusaka adat baru dilantik itu diharap akan dapat memikul amanah meneruskan keistimewaan adat perpatih terutama harta dan tanah pusaka mengikut nasab ibu.
“Di Luak Rembau terdapat kira-kira 5,000 hektar tanah pusaka dan mereka perlu arih memastikan tanah pusaka ini dibangunkan serta memberi manfaat kepada pewarisnya.
Martabat institusi Adat Perpatih
Sementara itu, Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Abd Razak Ab Said berkata, istiadat menyalang mampu memartabatkan lagi institusi adat perpatih di negeri ini.
“Secara tidak langsung, mereka akan lebih memahami serta menghormati kepelbagaian adat masyarakat terutamanya di negeri ini. Jika diteliti amalan adat perpatih ini meningkatkan semangat kecintaan kepada negeri, negara dan komuniti.
“Bagi memastikan adat perpatih  terus diamalkan kita telah melaksanakan projek sekolah rintis bagi mewujudkan Persatuan Adat Perpatih di lima buah sekolah terpilih di negeri ini sejak lima tahun lalu.
Razak berkata, lima sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za’Ba, Paroi, SMK Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti dan SMK Dato’ Abdul Samad, Tanjong Ipoh.
“Kita mahu generasi muda mengenali keunikan adat ini, selain mahu mengetengahkan adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah dalam pengamalan adat perpatih di negeri ini,” katanya.
Sempena istiadat berkenaan, Datuk Sinda Maharaja Baharin Sharif dari Suku Seri Lemak, Datuk Andika Muhammad Hanif Shaharuddin dari suku Batu Belang, Datuk Setia Maharaja Mohd sharif Shahudin dari suku Biduanda Setia dan Datuk Ganti Maharaja Muhamad Yusof Abdul Rahman dari suku Anak Melaka menyertai istiadat menyalang sebagai datuk lembaga adat.
Sementara, Datuk Menteri Maharaja Mohd Said Mustaffa dari suku Biduanda Lela Maharaja dilantik sebagai Buapak Kampung Gadong dan menyertai istiadat menyalang.
Untuk rekod, Sharip turut menganugerahkan gelaran kepada lima anak lelakinya sempena majlis berkenaan dengan gelaran Dato' Lela setia, Dato' Lela Pahlawan, Dato' Lela Putra, Dato' Lela Paduka dan Dato' Lela Bongsu.
Turut hadir di majlis diadakan   Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said dan Pegawai daerah merangkap Pengerusi Bersama Istiadat Menyalang, Amino Agos Suyub dan Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani.


RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts