Friday, September 23, 2011

Tepak Sireh Rembau


1. Masyarakat Melayu memang terkenal dengan sifat sopan santun dan berbudi bahasa. Malah kaya dengan adat istiadat, budaya dalam menjalani kehidupan seharian. Adat lebih diutamakan, bak kata perbilangan, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’, lebih-lebih lagi ketika majlis meminang, bertunang dan pernikahan.

2. Bagi upacara merisik, tunang dan nikah, masyarakat Melayu menggunakan tepak sireh sebagai pembuka kata. Tidak kurang juga, tepak sireh dikategorikan sebagai ‘kepala’ atau ‘ibu’ kepada barang hantaran untk majlis pertunangan dan pernikahan yang lain.

Sejarah

Alat kebesaran dan tanda kebudayaan Raja-raja dan masyarakat Melayu turun temurun. Diletakkan di dalam sebuah pahar beralas kain baldu kuning Raja.

Komponen

Adalah seperti berikut :

a. Bekas sireh

Saiznya hampir serupa dan berbentuk pipih, lebar pada bahagian mulut (8sm) dan menguncup pada bahagian bawah (6sm) dan tinggi (10sm). Ada berbentuk segi 8 atau segi 6.

b. Cembul

Komponen di dalam tepak sireh terdiri daripada 5 ramuan untuk pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih.

c. Kacip


Untuk membelah pinang yang keras.

d. Gobek


Seperti antan dan lesung untuk melumatkan sireh. Nenek tua yang sudah tiada mempunyai gigi akan berdamping rapat dengan gobek bagi membolehkannya menghilangkan ketagihan makan sireh.

e. Celepa

Untuk mengisi tembakau atau plak sireh. Sesuai digunakan untuk seseorang itu merantau jauh.

f. Ketur

Dikenali sebagai tempat berludah untuk menjaga kesihatan.



Ramuan dan Makna Tersirat

Adalah seperti berikut :


a. Sireh

Sifat rendah diri dansentiasa memuliakan orang lain.

b. Kapur

Melambangkan hati seseorang yang putih bersh serta tulus tetapi jika keadaan tertentu yang memaksanya, ia akan berubah lebih agresif dan marah.

c. Gambir

Sifatnya yang kelat kepahit-pahitan memberikan erti kecekalan hati.

d. Pinang

Digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur

e. Tembakau

Melambangkan seseorang yang berhati tabah dan sedia berkorban dalam segala hal.

PEMBUKA BICARA

1. Tepak sireh sebagai pelengkap majlis perkahwinan. Sebelum meneruskan majlis pertunangan dan pernikahan, tepak sireh dibawa ke rumah mempelai perempuan untuk tujuan meminang. Penuh dengan santunan dan budi bahasa, tepak sireh lengkap dengan isi, dibalut dengan kain songket sebelum diserahkan kepada keluarga perempuan.

2. Keluarga perempuan yang menerima pinangan itu akan membuka balutan songket dan mula memakan daun sireh bersama pinang, gambir, tembakau, bunga cengkih dan kapur yang diisi di dalam cembul tepak sireh. Walau bagaimanapun, tepak sireh turut berfungsi memutuskan hubungan antara pasangan yang telah bertunang, sekiranya wanita bertunang itu melakukan perkara tidak baik.

3. Caranya, keluarga lelaki menghantar tepak sireh yang lengkap berisi dan diterbalikkan dalam kain songket. Apabila dibuka pihak keluarga perempuan sudah mengetahui apa yang berlaku.

4. Pada awal zaman Kesultanan Melayu Perak, ada dua buah tepak sireh yang diperbuat daripada emas diberi nama Puan Bujurdan Puan Naga Taru. Alat berkenaan dijadikan sebagai alat kebesaran diraja atau regalia dan masih tersimpan sebagai khazanah berharga di Istana Sultan Perak hingga ke hari ini. Ada juga beberapa bentuk tepak sireh dan masyarakat Melayu menamakan tepak sireh berbentuk bujur sebagai ‘puan’ dan berbentuk empat segi bujur sebagai tepak.

5. Di dalam tepak sireh, terdapat 6 cembul yang digunakan untuk menyimpan ramuan sireh seperti kapur, gambir, pinang, tembakau dan bungai cengkih. Paling utama iaialh daun sireh. Susunannya perlu betul bagi menunjukkan tertib ketika mengapur sireh. Dalam tepak, sitreh dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya serta disusun dalam satu baris. Sireh wajib dilipat supaya mengelak daripada terlihat ekor sireh itu dan juga mengelak tanggapan sebagai kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.

6. Tepak sireh yang lengkap diserikan dengan hiasan bunga segar dan dibungkus dengan kain songket juga dinamakan Tepak sireh adat. Hantaran tepak sireh bukan sekadar memenuhi adat tetapi ia adalah makanan berkhasiat untuk badan. Selain dikatakan wajib bagi pihak lelaki menghantar tepak sireh bersama hantaran lain untuk majlis pertunangan dan pernikahan, wanita juga perlu membalasnya dengan tepak sireh pada dua majlis itu. Cuma bezanya, pihak perempuan tidak memberi bingkisan tepak sireh ketika menerima pinangan daripada pihak lelaki.

7. Amalan memberi dan menerima tepak sireh masih dijalankan ketika majlis pertunangan dan pernikahan. Namun kini, masyarakat bagaikan alpa denga adat menghantar tepak sireh ketika merisik dan hanya menyerahkan sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda. Bagaimanapun, tepak sireh yang menjadi barang kebanggaan masyarakat Melayu tidak akan lapuk dek zaman.

Penyediaan kain

Peralatan yang ada di dalam tepak

Proses melipat lapisan pertama


Proses melipat lapisan kedua


Proses melipat lapisan ketiga dan terakhir


Proses melipat tepak


Proses melipat membentuk bahagian kepala


Melipat kain bagi bahagian ekor


Lipatan tepak sireh Luak Rembau


Dato' Raja Di Raja Mej (B) Hj Bahaman sedang menunjukkan cara membawa tepak sireh


Tepak sireh yang telah siap (Tepak Sireh Luak Rembau)



Demonstrasi membungkus tepak sireh oleh Luak Rembau sempena Pesta Persukuan Adat Perpatih yang lalu. Kertas kerja tersebut merupakan hasil tulisan dan diterangkan oleh Dato Raja Di Raja Mejar (B) Haji Bahaman bin Harun.



Ulasan :

Cara membungkus tepak sireh bagi setiap luak adalah berbeza. Di sini saya menunjukkan bagaimana membungkus dan rupa bentuk lipatan tepak sireh yang digunakan oleh masyarakat di Luak Rembau. Bilangan kain yang digunakan untuk membungkus menggambarkan kedudukan ataupun siapakah yang diwakili oleh tepak tersebut. Sebagai contoh, untuk Buapak, bilangan kain adalah 3 helai, Lembaga sebanyak 5 helai manakala Undang Luak, bilangannya adalah 7 helai. Kain yang digunakan ialah bagi lapisan dalam, kain tudung digunakan manakala lapisan luar, batik lepas digunakan.

Kebiasaannya, kerja membungkus tepak sireh akan dilakukan oleh Ibu Soko. Ia harus dilakukan dengan telita dan cermat. Kedudukan kepala sireh dan kepala bungkusan haruslah selari bagi memastikan ketika dihulurkan kepada pihak yang berkenaan, ia berada kedudukan yang betul. Sekiranya kedudukan sireh tidak betul atau dihulurkan secara salah iaitu bahagian ekor dihulurkan, pihak yang menerima akan menolak tepak tersebut. Ini akan memalukan pihak yang membawa tepak tersebut.

Setelah tepak dibungkus, tepak itu akan diserahkan kepada orang lelaki iaitu orang semenda atau wakil yang dipertanggungjawabkan. Cara membawa tepak ialah dengan mengepit tepak di celah ketiak kanan di mana ia tidak boleh dijinjing begitu sahaja. Siapa yang membawa tepak bergantung siapakah yang mengadakan majlis. Sebagai contoh, perkahwinan anak buah, orang semenda yang bawa, perkahwinan anak Buapak, Tua Waris atau Besar yang mewakili keluarga Buapak. Sekiranya majlis perkahwinan, anak Lembaga, Buapak akan mewakili keluarga Lembaga manakala majlis perkahwinan anak Undang Luak, Lembaga yang bertanggungjawab untuk membawa tepak tersebut.

Di Luak Rembau, tepak digunakan begitu juga di Jelebu, Sungai Ujong dan Tampin. Manakala Luak Tanah Mengandong, bujam, bujam epok atau bujam bertindan digunakan di dalam majlis adat.


Sumber: Nagari Nan Tuo

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts