Monday, October 3, 2011

Struktur dan Organisasi Sosial

Masyarakat adat Negeri Sembilan dikelompokkan kepada beberapa Suku. Setiap suku dapat dipecahkan kepada kelompok yang lebih kecil yang dinamakan Perut. Setiap perut pula dibahagikan kepada beberapa kelompok Ruang, yang mengandungi beberapa Rumpun.

SUKU

Masyarakat adat perpatih dikelompokkan kepada 12 suku iaitu:

Biduanda

Paya Kumbuh

Tiga Nenek

Batu Belang

Tiga Batu

Semelenggang

Selemak

Mungkal

Tanah Datar

Batu Hampar

Anak Melaka

Anak Acheh.

Bilangan ini pada umumnya berubah dari satu Luak ke Luak adat yang lain. Contohnya Luak Rembau, Jumlah sukunya adalah 27, Luak Jelebu 12, Luak Johol 11, Luak Jempol 12 dan sebagainya. Setiap suku ini mempunyai seorang ketua yang dikenali sebagai Lembaga. Suku merupakan satu kelompok kekeluargaan yang dianggap besar dalam masyarakat adat perpatih. Mereka yang menganggotai sesuatu suku itu dipercayai berasal dari moyang yang sama. Namun garis salasilah yang berpuncakan moyang tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat dan jelas. Walau bagaimanapun ahli sesuku menganggap diri mereka sebagai adik-beradik dan oleh itu rasa kesatuan di antara mereka adalah kuat dan teguh. Keadaan hidup komunal dan korporat di kalangan ahli-ahli sesuku tergambar dalam perbilangan berikut:

Sikap dan nilai yang tergambar dalam perbilangan tersebut telah dan perlu dipatuhi kerana setiap perilaku seseorang ahli, samada baik atau buruk, akan memberi kesan secara langsung kepada seluruh suku.Keahlian dalam suatu suku adalah kekal sepanjang hidup seseorang. Keanggotaan suku adalah berdasarkan dua perkara berikut:

KELAHIRAN

UPACARA KADIM

Penentuan suku adalah mengikut suku ibu. Sekiranya seorang perempuan itu dari suku Tiga Nenek berkahwin dengan lelaki dari suku Tanah Datar maka anak-anak mereka akan mewarisi suku ibu mereka iaitu suku Tiga Nenek.

Keanggotaan suku melalui upacara berkadim pula mempunyai kaitan dengan upacara menganak angkat. Upacara ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu berkadim pinang sebatang (yang dilakukan kepada diri seorang individu lelaki) dan berkadim aur serumpun (yang dilakukan kepada diri seorang perempuan)

Dalam keadaan tradisi, suku adalah unit dasar dari segi kediaman, kekeluargaan dan pengelompokan para pemilik harta. Kesatuan di dalam suku di ikat oleh persamaan nilai dasar yang terkandung di dalam kesatuan suku. Setiap individu mempunyai suku masing-masing dan hanya boleh menjadi anggota satu suku sahaja.

PERUT
Setiap suku dipecahkan kepada kelompok yang lebih kecil dinamakan Perut. Bilangan perut dalam setiap suku adalah tidak sama. Perut merupakan kelompok kekeluargaan yang berasal dari. hubungan kekeluargaan keturunan satu moyang yang sama. Hubungan kekeluargaan antara perut adalah lebih jelas berbanding hubungan kekeluargaan dalam satu suku. Kerjasama di kalangan ahli perut adalah perlu terutama sebelum sebarang upacara ritual dijalankan. Oleh itu, sebelum menjalankan sebarang aktiviti sosial, ekonomi ataupun politik, ahli seperut akan dikumpulkan dalam satu majlis yang dinamakan berkampung bagi membincangkan masalah atau keputusan yang perlu dilaksanakan untuk mencapai kepentingan bersama. Adat istiadat ini kebiasaannya diketuai oleh Lembaga Suku atau Buapak. Buapak merupakan kepala yang mengetuai kelompok kekeluargaan Perut.

RUANG
Perut yang dibahagikan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil pula dikenali sebagai Ruang. Ruang kebiasaanya mempunyai kelompok kekeluargaan yang berasal dari satu nenek. Hubungan kekeluargaan dalam satu ruang adalah lebih rapat berbanding anggota-anggota dalam satu perut dimana setiap anggota ruang sentiasa ziarah menziarahi dan saling bertemu terutamanya dalam kenduri kecil-kecilan. Setiap kegiatan yang diadakan oleh anggota ruang perlulah dilakukan secara bersama dan sekiranya ahli berkenaan berada diluar kawasan, adalah menjadi beban tugas Besar (Besar merupakan ketua kelompok Ruang) untuk menjemputnya. Di samping itu, sekiranya ahli berkenaan tidak dapat hadir, menjadi tanggungjawabnya sendiri untuk memohon maaf dan membuat pengakuan bahawa beliau akan bersetuju dan patuh terhadap sebarang keputusan yang akan dicapai semasa istiadat berkampung nanti.


RUMPUN
Kelompok yang lebih kecil daripada ruang adalah Rumpun. Beberapa buah rumpun membentuk satu kelompok kekeluargaan ruang. Kebiasaannya, kelompok kekeluargaan rumpun mempunyai hubungan keluarga yang luas iaitu sekurang-kurangnya terdiri daripada tiga generasi. Memandangkan bilangan anggota dalam sesebuah rumpun itu adalah kecil (jarang melebihi 50 orang), maka hubungan di antara mereka adalah amat rapat dan sering berjumpa dalam kehidupan harian. Ketua bagi Rumpun dikenali sebagai Kadim atau pun Tua Rumpun.

Sumber: Pusat Internet Desa Kota

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts