Sunday, November 27, 2011

Undang Luak Rembau Ke 21 : Adat Dan Istiadat Perlantikan

YTM Dato' Lela Maharaja
Dato' Muhamad Sharip bin Haji Othman
Undang Luak Rembau ke 21
(Gambar Terkini 27 Nov 2011)

Suku Biduanda ialah suku adat Luak Rembau. Mengikut sejarahnya, Orang Asli suku kaum Jakun selepas menerima kedatangan orang Sumatera telah hidup bersama mereka dalam tempoh masa yang lama. Akhirnya Orang Asli Jakun tersebut telah memeluk agama Islam. Orang Sumatera, kaum perantau telah menamakan Orang Asli Jakun itu biduanda yang bermaksud saudara baru Islam.

Pengurniaan gelaran tersebut ada kaitan dengan perlantikan Si Rama sebagai Penghulu Rembau yang pertama. Si Rama ialah cucu kepada Batin Sekudai, ketua Orang Asli di Rembau ketika itu. Beliau merupakan anak kepada Datuk Bungkal yang berkahwin dengan Datuk Lela Balang. Datuk Lela Balang ialah orang bergelar Sumatera yang telah datang ke Rembau pada sekitar tahun 1515/16. Datuk Bungkal pula menjadi anak angkat Datuk Leteh, pembesar Sumatera yang datang awal ke Rembau iaitu dalam tahun 1490-an. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang anak, tiga orang perempuan dan seorang lelaki iaitu Si Rama yang merupakan anak bongsu.

Memandang kepesatan pertambahan penduduk di Rembau ,Datuk Leteh pada sekitar 1530-an menyarankan agar Rembau mempunyai seorang pemimpin dan sistem pemerintahan yang sendiri, sungguhpun ketika itu Rembau di bawah naungan kerajaan Johor (Norhalim Hj Ibrahim, 1995 : 75). Di atas kebulatan kata, Datuk Leteh dan Datuk Lela Balang serta penduduk Rembau telah bersetuju melantik Si Rama sebagai Penghulu. Pencalonan ini dibuat berdasarkan Si Rama ialah cucu kepada Batin Sekudai, ketua Orang Asli di Rembau dan anak kepada orang bergelar Sumatera. Mereka berharap dengan perlantikan tersebut, Si Rama akan menjadi lambang negeri Rembau buat masa itu dan akan datang.

Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah pergi menghadap Sultan Johor pada tahun 1540 bagi mendapat pengiktirafan perlantikan tersebut daripada Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah (1527 - 1564) di Johor Lama. (Norhalim Ibrahim, 1995 : 75). Ketika menghadap sultan hanya Datuk Lela Balang sehaja yang pergi sedangkan Datuk Laut Dalam tinggal dan menjaga perahu. Sultan Johor telah memperkenankan permintaan Datuk Lela Balang itu. Di atas perkenannya, sultan telah mengurniakan gelaran Lela Maharaja kepada penyandang pusaka Penghulu Rembau.

Datuk Laut Dalam tidak berpuas hati dengan berita yang telah disampaikan oleh Datuk Lela Balang kepada rombongannya. Beliau juga mahukan keturunannya menjadi Penghulu Rembau. Bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan, Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah kembali mengadap sultan serta mempersembahkan tuntutan Datuk Laut Dalam. Setelah dibincangkan dan dipertimbangkan tuntutan tersebut, sultan telah mencadangkan agar Si Rama dinikahkan dengan anak perempuan Datuk Laut Dalam. Anak lelaki hasil pernikahan tersebut akan dilantik menjadi Penghulu selepas Datuk Lela Maharaja Si Rama. Sultan juga mengurniakan gelaran Sedia Raja kepada keturuan Datuk Laut Dalam. Semenjak itu, penyandang pusaka Penghulu dipilih secara bergilir antara dua waris tersebut, waris Lela Maharaja dan waris Sedia Raja.


Undang Rembau Ke-20 Meninggal Dunia

Pada 8 September 1998, Datuk Sedia Raja Haji Adnan bin Ma'ah, Undang Luak Rembau ke-20 telah kembali ke rahmatullah di kediaman rasminya di Sri Andika, Kampung Senama Baru, Rembau setelah menyandang pusaka Undang Rembau selama 35 tahun (1963 - 1998). Oleh sebab penyandang Undang Rembau ke-20 itu daripada suku Biduanda waris Sedia Raja, Kampung Bukit maka penyandang pusaka Undang Ke-21 menggilir pula kepada suku Biduanda waris Lela Maharaja. Setelah kebulatan kata, maka 21 November 1998, Datuk Purba Yahaya bin Abd Ghani telah mengisytiharkan Datuk Syahbandar Haji Muhamad Sharip Othman sebagi penyandang pusaka Undang Luak Rembau ke-21.

Datuk Syahbandar Haji Muhamad Sharip adalah daripada suku Biduanda waris Lela Maharaja Kampung Tebat. Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah dikerjankan sebagai Undang Luak Rembau ke-21 pada 2 Disember 1998 di Kampung Sepri, Rembau. Pada 27 Februari 1999, Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah melakukan istiadat menyalang Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti. Istiadat menyalang tersebut disempurnakan dengan penuh adat istiadat kebesaran Undang Luak Rembau.

Gelaran Penghulu bagi ketua tadbir Luak Rembau telah diguna pakai sehingga April 1898 iaitu dalam masa pemerintahan Penghulu Rembau ke-16 Datuk Sedia Raja Serun bin Sidin (1883 - 1905). Ketika itu, Rembau di bawah pemerintahan Inggeris. Bertitik tolak dari tarikh tersebut sehinggalah ke hari ini, penyandang pusaka adat tertinggi di Rembau disebut sebagai Datuk Undang Luak Rembau.


MENDIRIKAN ADAT

Sebelum upacara pengkebumian disempurnakan, tepat jam 8.30 pagi, Orang Besar Undang, Datuk-Datuk Lembaga Tiang Balai Lapan Kampung, Datuk-Datuk Lembaga yang lain serta Buapak suku Batu Hampar Petani, suku isteri Allahyarham telah mengadakan satu majlis mendirikan adat.

Dalam Luak Rembau, setiap kematian penyandang pusaka Undang, Lembaga, Orang Besar Undang serta Buapak, sebelum upacara pengkebumian dijalankan pusaka yang disandang oleh si mati hendaklah diturunkan terlebih dahulu. Selepas diturunkan, barulah jenazah boleh dikebumikan. Jika pusaka tidak diturunkan bermakna pusaka itu dikebumikan bersama; dan keadaan ini diistilahkan "telah terbenam". Berikutan dengan itu, pusaka itu dianggap "terputus" dan tidak boleh dicari pengganti. Penggantinya hanya boleh dicari setelah pusaka yang terbenam tersebut ditimbulkan oleh orang yang punya pusaka. Pemilik pusaka di Rembau ialah orang perempuan. Usaha menimbulkan kembali pusaka yang terbenam adalah dalam tangan Ibu Soko, perempuan yang tertua dalam suku penyandang.

Dalam majlis perkahwinan adat tersebut, Orang Besar Undang Lapan Kampung, Datuk-Datuk Lembaga Tiang Balai, Datuk-Datuk Lembaga yang lain serta Besar Dalam Waris telah berkebulatan bahawa pusaka Undang diturunkan daripada Allahyarham Datuk Hj Adnan setta diletakkan di bawah jagaan amanah dan tanggungjawab Datuk Purba Yahaya bin Abd Ghani. Datuk Purba akan memegang amanah tersebut sehingga hari pengisytiharan penyandang pusaka yang baru dibuat. Mengikut Perlembagaan Adat Rembau, apabila seseorang Undang meninggal dunia, tidak ada jawatan pemangku. Pengganti penyandang pusaka Undang Luak Rembau boleh diisytiharkan pada masa dan hari kematian atau pengebumian Undang yang memerintah. Bagi melicinkan proses pengambilalihan pusaka nan bergilir, penggantinya boleh dibuat bila-bila masa selepas hari berkenaan setelah benih yang dicari dan disediakan oleh Datuk Purba mendapat kebulatan. Adat Rembau mengatakan :-

Patah tumbuh hilang berganti
Sehari hilang sehari dicari



Pusaka Bergilir

Sebagaimana pusaka Undang ini bergilir dalam lingkungan dua waris suku Biduanda waris Lela Maharaja dan waris Sedia Raja di kalangan setiap waris itu juga bergilir antara empat buah kampung bagi setiap waris. Kampung-kampung yang menggilirkan pusaka ini di kalangan ahli suku waris Biduanda Jawa (waris Sedia Raja) ialah Bukit Pulau, Tanjung dan Chengkau Tengah. Di dalam suku Biduanda Jakun (waris Lela Maharaja) pula kampung-kampung yang bergilir menyandang pusaka berkenaan ialah Kota, Chengkau, Gadong dan Tebat.


Giliran Waris Tebat Digantung

Berdasarkan senarai penyandang pusaka Undang Rembau, kali pertama dan terakhir waris Kampung Tebat menyandang pusaka ini ialah kira-kira 186 tahun yang lalu iaitu apabila Datuk Haji Kosil (1795 - 1812) dipilih menjadi Undang (ketika itu menggunakan gelaran Penghulu) Rembau ke-11. Dalam masa pemerintahannya itu telah timbul kekusutan di kalangan anggota waris sehingga waris suku Biduanda Jakun Kampung Tebat didenda dan digantung daripada menyandangkan pusaka Undang (Penghulu) Rembau.


Menjernihkan Yang Keruh

Permasalahan tersebut telah diselesaikan, dibersihkan dan dijernihkan oleh Datuk Abdullah bin Haji Dahan (1922 - 1938), Undang Rembau ke-18. Penyelesaian ini telah dimaklumkan kepada Residen Inggeris Negeri Sembilan melalui sepucuk surat bertarikh 28 November 1932. Pegawai Daerah Tampin, R. Irvine telah menerima penyelesaian tersebut melalui suratnya kepada Balai Undang Rembau bertarikh 30 November 1932 (lihat No. 2 in D. O. T. 634/32). Sebulan kemudian, dalam sepucuk surat yang ditandatangani oleh I. W. Blelloch, Setiausaha kepada Residen bertarikh 30 Disember 1932. Residen Inggeris Negeri Sembilan juga menyatakan persetujuan dengan penyelesaian tersebut (lihat : N. S Sec General 2780/1932).

Bertitik tolak dari tarikh itu berlangsunglah kehendak perbilangan

Yang kusut telah diusaikan
Yang jauh telah didekatkan
Yang keruh telah dijernihkan


Dengan demikian, waris suku Biduanda (Lela Maharaja) Kampung Tebat dikembalikan hak menyandang pusaka mengikut giliran yang telah diadakan.


Mencari Benih

Kata perbilangan :-

Bulat air dek pembetong
Bulat kata dek muafakat


Dek bulat kata, benih bagi penyandang pusaka ke -21 hendaklah dicari daripada waris Kampung Tebat. Tugas mencari dan menyediakan benih terletak di bawah tanggungjawab Datuk Purba Yahaya berdasarkan perbilangan :-

Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Undang
Bulat Undang menjadikan Raja


Dalam menentukan giliran kampung atau lubuk mana benih akan dicari dan disediakan. Pada 16 September 1998, satu kerapatan yang dihadiri oleh Buapak Lapan Kampung telah diadakan di surau Kampung Chenong Chengkau, Rembau. Setelah mengadakan perbincangan dan melihat salasilah penggiliran pusaka, enam daripada lapan orang Buapak telah bersetuju bahawa penyandang pusaka Undang Luak Rembau digilirkan lepada waris Lela Maharaja Kampung Tebat. Buapak yang menentang itu adalah daripada Perut Kampung Chengkau. Di atas kebulatan tersebut, Datuk Purba telah mencari benih daripada kampung berkenaan. Untuk mendapatkan benih ahli-ahli waris Kampung Tebat telah mengadakan satu kerapatan pada 22 Oktober 1998 bertempat di surau Kampung Tebat.


Pengisytiharan Perlantikan

Pada 21 November 1998 bertempat di Balai Undang Luak Rembau, satu lagi kerapatan telah diadakan. Dek bulat kata kerana muafakat maka bertepatan jam 10.40 pagi, Datuk Purba dengan rasminya mengisytiharkan Datuk Syahbandar Haji Muhamad Sharip bin Haji Othman, ahli suku Biduanda waris Lela Maharaja, Kampung Tebat sebagai penyandang pusaka Undang Luak Rembau ke-21. Seruan Datuk Purba itu berbunyi :-


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan kuasa yang ada pada saya, saya Datuk Sedia Lela Yahya bin Abd Ghani, Lembaga Suku Biduanda Dua Carak melantik dan mengisytiharkan Yang Mulia Datuk Sedia Lela Utama Haji Muhamad Sharif bin Haji Othman dari Suku Biduanda, Lela Maharaja Kampung Tebat menyandang pusaka Undang Luak Rembau yang ke-21 bergelar Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip bin Haji Othman, Undang Luak Rembau ke-21 mulai dari tarikh ini 21 November 1998 bersamaan 1 Syaaban 1419.



Telapak Ibu

Selepas majlis pengisytiharan dibuat, Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip bin Haji Othman telah dibawa ke telapak ibunya di Kampung Tebat, Chembong. Bapa saudara kepada isteri Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip bin Haji Othman diadatkan menjemput Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip untuk balik ke rumah isterinya di Kampung Sepri dengan membawa tepak sirih dengan diiringi oleh Lembaga suku isterinya. Adat menjemput ini sangat penting kerana yang dijemput bukan lagi Haji Muhamad Sharip tetapi Datuk Undang Luak Rembau.

Adat menjemput ini dijalankan oleh semua penyandang pusaka yang baru dilantik di Rembau. Tujuan adat tersebut adalah untuk menambangkan penyandang pusaka yang baru itu di tempat ia menyemenda. 'Menambangkan' di sini bermaksud meletakkan dengan adat gelaran yang baru disandang agar diketahui oleh rakyat atau anak buah isteri khasnya dan rakyat luak amnya.


Istiadat Kerjan

Istiadat kerjan bermaksud memasyhurkan atau mengisytiharkan secara adat yang penuh dengan istiadat ke atas penyandang pusaka Undang Luak. Dengan demikian, istilah kerjan digunakan khas kepada adat istiadat menabalkan atau menobatkan Undang. Sehubungan dengan itu, Luak Rembau dikenali dengan Tanah Kerjan dan Seri Menanti dikenali sebagai Tanah Mengandung. Istiadat kerjan dilaksana dan disempurnakan di rumah penyandang yang dilantik dengan penuh adat istiadat.

Istiadat kerjan Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah ditentukan pad 2 Disember 1998 bersamaan 13 Syaaban 1419. Istiadat kerjan diadakan di kediaman beliau di Kampung Sepri, Rembau.

Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah dibawa ke Balai Adat bersama Toh Puan dengan diiringi oleh Juak Hulubalang. Datuk Raja Senara Haji Ismail bin Haji Yasin telah menyempurnakan pemasyhuran kerjan dengan menyerukan :-

Bismillahirrahmanirrahim
Dengar....
Dengar....
Dengar....
Wahai rakyat Luak Rembau,
Yang tua dan yang muda,
Yang besar dan yang kecil,
Yang miskin dan yang kaya,
Lelaki dan perempuan,
Yang berpangkat dan yang melarat sekalian.


Mengikut perbilangan:

Adat dipakai baru,
Kain dipakai usang,
Bercupak sepanjang bertuang,
Beradat sepanjang jalan.


Pada hari ini diumukan dengan rasminya takhta Undang Luak Rembau yang ke-21 dikerjankan kepada Yang Teramat Mulia Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip bin Haji Othman.

Sesuai dengan perbilangan :
Godang jangan melanda
Panjang jangan melindih
Adat yang tak lekang dek panas
Tak lapuk dek hujan
Dianjak tak layu
Dicabut tak mati
Di mana tanah dipijak
Akar dilangkah
Undang Luak yang punya


Sebaik sahaja pemasyhuran dibuat, Datuk Ngiang telah memukul gong atau canang menandakan rasmi mengikut adat istiadat Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharif bin Haji Othman sebagai Undang Luak Rembau ke-21.


Alat Kebesaran

Petang sebelum istiadat kerjan dijalankan, semua alat kebesaran Undang diturunkan dan ditepung tawar oleh Pawang Undang. Antara lain alat kebesaran termasuklah keris, lembing, tombak, sundang, payung kebesaran serta gong atau canang. Sebuah balai bertingkat juga telah didirikan di sisi rumah dan dihiasi dengan lelangit berwarna kuning sebagai lambang kebesaran Undang Luak Rembau.

Malam sebelum hari istiadat diadakan, Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah mengadakan upacara menurunkan kerja istiadat kepada Datuk-Datuk Lembaga Tiang Balai dan Datuk-Datuk Lembaga yang lain. Adat istiadat kerjan diketuai oleh Datuk Purba sebagai Lembaga Waris Nan Dua Carak.


Istiadat Merafaq Sembah Kasih

Sebaik sahaja pemasyhuran kerjan disempurnakan, diadakan istiadat merafaq sembah kasih kepada Datuk Undang. Istiadat meneymbah diketuai oleh Datuk Purba Yahaya dengan diikuti oleh Orang Besar Undang, Datuk-datuk Lembaga dan Buapak Lapan Kampung. Turut merafaq sembah kasih ialah Ibu Soko Waris Nan Dua Carak.


Danau Sisik Emas

Setiap penyandang pusaka Undang Rembau yang baru dilantik diwajibkan menziarah sebuah danau yang dikenali dengan Danau Sisik Omeh (Emas) yang terletak di Kampug Sawah (Sawar) Raja. Di samping itu sebagai penghormatan, Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah berkunjung ziarah ke makam Penghulu Luak Rembau yang pertama, Si Rama di Kampung Kota.


Menyalang Ke Seri Menanti

26 Februari 1999 (hari Jumaat) merupakan tarikh yang mengulangi kembali nostalgia sejarah dalam perlantikan Undang Luak Rembau yang baru. Pada tarikh tersebut, Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip telah melaksanakan istiadat menyalang ke Seri Menanti. Istiadat menyalang atau mengadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merupakan istiadat yang menjadi kelaziman kepada setiap penyandang Undang Luak Rembau yang baru untuk memperkenalkan diri. Istiadat menyalang ke Seri Menanti dilakukan dengan berjalan kaki merentas Banjaran Titiwangsa menuju ke Kampung Pasir di Seri Menanti.

Lebih kurang jam 7.30 pagi, Orang Besar Undang, Datuk-datuk Lembaga Tiang Balai, Datuk-Datuk Lembaga serta orang ramai telah berkumpul di telapak kediaman Datuk Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip di Kampung Sepri. Selesi membaca doa, Datuk Undang dengan diiringi oleh rakyat bergerak meninggalkan telapaknya menuju ke Kampung Pabai di Miku. Turut mengiringi Datuk Undang ialah pasukan tentera dan polis. Mendahului perjalanan ialah pembawak tetawak (gong). Selepas pembawa tetawak ialah Datuk Syahbandar diikuti oleh Datuk Undang yang diapit oleh Datuk Purba dan Datuk Menteri Besar Lela Perkasa serta diiringi oleh pembesar-pembesar adat yang lain. Sampai di Kampung Pabai, perkampungan Orang Asli Miku, Datuk Undang bersama rombongan telah berangguh di balai raya kampung tersebut untuk berehat sementara menanti kedatangan rakyat yang belum sampai. Tepat 8.45 pagi, Tuan Kadi Daerah Rembau telah membackan doa selamat, sebelum rombongan menyalang memulakan langkah menuju ke Seri Menanti.

Dalam perjalanan rombongan ini telah berhenti di beberapa tempat rehat untuk melepaskan penat. Antaranya Jeram Sendeng dan Jeram Asah Baru. Di Jeram Asah Batu terdapat sebuah batu yang terletak di tengah jeram tersebut. Batu berkenaan digunakan sebagai tempat mengasah senjata.

Ketika perjalanan pemukul tetawak mestilah sentiasa memukul tetawaknya bagi menjadi pedoman laluan agar tidak ada yang tersesat. Dengan kata lain, pemukul tetawak merupakan pemandu jalan. Ketika hutan masih dara dahulu, pemukul tetawak atau pemandu jalan ini sangat penting bagi menentukan jalan dan laluan yang hendak diikuti agar semua pengikut rombongan tersebut selamat sampai ke tempat yang dituju.

Pada jam 11.45 pagi, semua rombongan istiadat menyalang tersebut sampai di Bukit Tempurung, Kampung Bukit. Ketibaan Datuk Undang di Bukit Tempurung telah disambut oleh Penghulu Kampung Bukit serta dibawa ake rumahnya di Kampung Tobat Godang. Rumah Penghulu hanya sebagai tempat berangguh bagi melepaskan penat buat seketika. Kemudian Penghulu mesti mengiringi Datuk Undang menuju ke Rumah Telapakan Rembau di Kampung Bukit. Rumah Telapakan Rembau ini ialah tempat persinggahan sebenar. Di rumah itu, Datuk Undang dan rombongannya dijamu mengikut istiadat kebesaran Undang Luak Rembau.

Kedatangan Datuk Undang mesti disambut dengan segala kebesaran oleh Buapak Telapakan. Mengikut adat, Datuk Undang tidak boleh singgah di rumah lain melainkan terus ke rumah Telapakan Rembau. Jika adat ini tidak diturutkan dipercayai sesuatu yang tidak diingini kemungkinan akan berlaku ke atas diri Datuk Undang. Hal ini telah dimaklumkan sendiri oleh pemilik rumah telapakan tersebut. Pemilik rumah Telapakan pindah ke Seri Menanti pada akhir tahun 1720-an dahulu. Raja Melewar, setelah bermalam di Kampung Bukit, telah meneruskan perjalanannya menuju ke Seri Menanti dan beristana di Seri Menanti. Sebelum berangkat, Raja Melewar telah bersiram di sebuah telaga yang masih terdapat berhampiran dengan rumah Telapakan. Walaubagaimanapun orang Rembau tersebut tidak meneruskan perjalanan mengikut Raja Melewar ke Seri Menanti tetapi menetap terus di Kampung Bukit. Keturunannyalah yang bertanggungjawab sehingga ke hari ini menyediakan segala alat kebesaran apabila Undang Luak Rembau yang baru menyalang ke Seri Menanti.

Pada pagi 27 Februari 1999 sebelum berangkat menuju ke Seri Menanti, Datuk Undang telah mandi di telaga yang telah disebut tadi. Setelah siap, rombongan tersebut telah menuju ke Istana Besar Seri Menanti diiringi paluan rebana Rembau sehingga sampai ke pintu Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Ketika berada di dalam Balai Rong Seri, Datuk Undang Rembau duduk di Seri Raja di Muda dengan diapit oleh Orang Besar Empat Istana Kanan dan Kiri. Pegawai Yang Enam, Apit Lempang dan Orang Besar Lingkungan Istana duduk di sebelah kanan dan kiri di hadpan Datuk Undang berdekatan dengan singgahsana. Istiadat menyalang atau mengadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan disempurnakan dengan Undang Luak Rembau bertelut dan menjunjung duli tiga kali dari Seri Raja di Muda sambil bergerak menuju ke singgahsana. Seterusnya duduk mengangkat tangan mengikut tertib mengadap yang dinamakan" lalu tujuh kali". Apabila sampai di hadapan Yang Dipertuan Besar lalu mengangkat tangan tiga kali. Kemudian mencium tangan baginda tiga kali. Selesai mencium tangan, Datuk Undang berundur ke tingkat kelima singgahsana, Datuk Undang akan menyembah ucapan setia. Setelah sempurna segalanya, Datuk Undang terus berundur dan mengambil tempatnya di hadapan jemputan-jemputan khas. Istiadat menyalang datuk Undang Luak Rembau disempurnakan dengan pembacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.



NOTA :
Menurut Sabda Pemasyhuran Undang Luak Rembau ke-20 bertarikh 16 Mei 1996, gelaran penuh pusaka ialah Datuk Sedia Lela Perdana. Sebelum Pemasyhuran tersebut pusaka ini bergelar Datuk Purba. Mulai 20 Februari 1999 gelaran Datuk Sedia Lela Perdana ini ditukar semula kepada gelaran asalnya, Datuk Purba. Pertukaran ini dilakukan oleh Undang Luak Rembau ke-21. Mulai tarikh ini juga semua gelaran pusaka yang diberi gelaran baru dalam Pemasyhuran 16 Mei 1996 tersebut ditukar menggunakan gelaran asalnya. Dialek Negeri Sembilan menyebut istilah ini sebagai kerojan yang bermaksud 'kerajaan' dalam bahasa baku.
Rembau dikatakan sebagai 'Tanah Kerjan' kerana Rembau, khususnya di Penajis ialah tempat menabalkan empat orang Yamtuan (Yang Dipertuan) isitu Raja Melewar (1720-an), Raja Hitam (1795), Raja Lenggang (1808) dan Raja Labu (1826). (norhalim Ibrahim 1995 : 337 - 340)
Tanah Mengandung di sini bermaksud kawasan tempat tinggal atau menetapnya (bersemayam) Yamtuan. Sebelum pelantikan Raja Radin sebagai Yamtuan dalam tahun 1829, keempat-empat Yamtuan sebelumnya ditabalkan di Penajis, Rembau. Selepas ditabalkan barulah Yamtuan dibawa dan menetap di Seri Menanti.

No comments:

Post a Comment

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts