Monday, November 7, 2011

Majlis Qurban dan Kerapatan

Sebahagian dari Anak-Anak Waris yang hadir

Kota - 7 November 2011: Berlangsungnya satu Majlis Qurban dan Kerapatan Anak-Anak Waris Suku Biduanda Lela Maharaja Kampung Kota sempena dengan Hari Raya Aidil Adha 1432 Hijrah. Majlis yang julung-julung kalinya diadakan di Telapak Ibu Soko Waris telah dihadiri oleh waris-waris bersama dengan ahli keluarga yang lain.
Majlis ini diadakan bagi mengumpulkan kesemua anak-anak waris yang ketika ini berada diluar dari luak kerana memenuhi tuntutan tugas masing-masing. Situasi begini menyebabkan hubungan dikalangan anak-anak waris kurang mesra dan ada di antara mereka tidak mengenali di antara satu sama lain. Dengan adanya majlis sebegini dapat merapatkan kembali silaturrahim di kalangan anak-anak waris yang telah lama terrenggang.

Majlis yang meriah ini turut dihadiri oleh Besar Waris, Buapak-buapak dari lapan kampung di Luak Rembau dan diketuai oleh YM Dato Haji Yahya bin Abd Ghani selaku Dato' Perba bagi Waris Nan Dua Carak. Di dalam ucapan balasnya, menjadikan Suku Biduanda Lela Maharaja Kampung Kota sebagai pengukur aras kepada Waris Nan Dua Carak yang lain iaitu Buapak di Luak Rembau ini untuk mengadakan Kerapatan sedemikian. Beliau juga berharap pada akhirnya nanti satu Kerapatan yang lebih besar iaitu Kerapatan Waris Nan Dua Carak Luak Rembau yang terdiri dari lapan buah kampung akan bekerjasama melaksanakan kerapatan sebegini dapat diadakan.

Terdahulu dari itu, majlis telah dimulakan dengan Majlis Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Muda, Masjid Kariah Kota. Disamping ucapan dari YM Dato' Samaraja Dzulkefli Ismail dan Dato Perba, anak-anak waris juga berkesempatan mendaftarkan ahli keluarga masing-masing menerusi Borang Pendaftaran Ahli Waris yang bertujuan untuk mengumpulkan maklumat anak-anak waris. Anak-Anak Waris yang lebih berkemampuan dan boleh melayari internet, pendaftaran secara online boleh dilakukan di laman blog waris iaitu waghihbiduandalelamaharaja.blogspot.com. Dengan adanya laman blog khas untuk Suku Biduanda Lela Maharaja Kampung Kota akan memudahkan anak-anak waris mendapatkan maklumat dan perkembangan adat yang berlaku di telapak ini.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa diatas kejayaan melaksanakan program ini terutama Buapak Lela Maharaja Kampung Kota, YM Dato' Samaraja Dzulkefli bin Ismail berserta semua anak-anak waris dan semenda yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.

No comments:

Post a Comment

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts