KOTA – Pas Dun Kota dengan kerjasama Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Rembau mengambil inisiatif melaksanakan projek pemuliharaan tempat bersejarah di daerah ini. Penyelaras Pas Dun Kota, Ghazali Mohd Som berkata, di peringkat Dun berkenaan, pihaknya memilih makam Datuk Lela Balang di Kampung Kota Lama yang sudah terbiar untuk dibersihkan melalui aktiviti gotong-royong.
Menurutnya, sewajarnya makam berkenaan dijadikan sebagai tempat warisan bersejarah kerana ia bukan hanya menjadi tempat tarikan pelancong, malah dapat membangkitkan semangat juang generasi muda apabila mengenali tokoh pemimpin adat mereka sendiri.
“Malah, generasi muda mungkin tidak menyedari banyak fakta sejarah antaranya peranan yang dimainkan masyarakat di Rembau yang terdiri daripada Orang Asli suku Jakun dan kaum pendatang dari Sumatera pada zaman kejatuhan kerajaan Islam Melaka untuk menghalau penjajah Portugis pada ketika itu dari bumi Tanah Melayu dan Nusantara.
“Sekiranya PR menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, kita akan mengusulkan beberapa cadangan dan kertas kerja berkaitan Adat Perpatih serta tempat bersejarah bukan sahaja di Rembau malah di seluruh Negeri Sembilan supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak, baik dari sudut keagamaan, kebudayaan serta ekonomi,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Pas Dun Kota, Izamri Med dan Pengarah 2 Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Rembau, Rozmal Malakan.
Sumber: AANS
No comments:
Post a Comment