Sunday, April 7, 2013

PAS DUN Kota kesal makam bersejarah terbiar

Rembau 6 April 2013 – PAS DUN Kota melahirkan rasa kesal kerana banyak makam bersejarah di kawasan ini terbiar tanpa penyelenggaraan yang tersusun dan sempurna dari pihak yang berwajib. Menurut Hj Ghazali Mohd Shom, Penyelaras PAS DUN Kota, generasi kini perlu memelihara makam bersejarah ini kerana ianya adalah merupakan makam mereka yang telah banyak berjasa di daerah ini bukan sahaja membangunkan daerah ini, malahan mengembangkan Islam di daerah ini.

Hj Ghazali sempat menziarahi makam Datuk Tajuh yang merupakan peneroka awal Kg Penajuh (Kg Penajis). Kg Penajuh ini mempunyai banyak kesan sejarahnya , dimana tempat ini adalah merupakan tempat pertabalan empat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan termasuk Yang Dipertuan Negeri Sembilan yang pertama iaitu Raja Melewar. Batu nisan yang terdapat di makam Datuk Tajuh ini dipercayai dari jenis batu megalitik sejenis batu ganjil yang hanya terdapat di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu Sdr Rozmal bin Malakan yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau merasa sedih apabila melawat makam Undang Rembau yang pertama iaitu Dato Seri Rama bin Dato Lela Balang di Kg Chengkau Ulu yang meninggal dunia pada tahun 1555 H. Menurut Sdr Rozmal pintu pagar kawasan makam berkenaan didapati telah tiada, manakala atapnya sudah banyak yang pecah. Menurut Sdr Rozmal makam ini adalah amat penting bukan sahaja dalam sejarah Rembau malahan sejarah Negeri Sembilan itu sendiri.

Makam ini yang terletak hanya sekitar 50 meter dari jalan utama Rembau – Tampin sepatutnya boleh dijadikan makam bersejarah yang bukan hanya mampu membangkitkan kesedaran generasi kini akan perit jerih mereka yang meneroka negeri ini, malahan ianya mampu menjana ekonomi pelancongan bersejarah di daerah ini.

Sehubungan dengan itu PAS DUN Kota dan PAS Kawasan Rembau menyeru kepada semua pihak agar lebih prihatin dalam memulihara tempat bersejarah di kawasan ini, lebih-lebih lagi makam bersejarah yang boleh mendatangkan keinsafan kepada kita semua.

Gambar sekitar makam Dato Seri Rama dan Dato Tajuh di http://pas-n28-kota.blogspot.com/2013/04/pas-dun-kota-kesal-makam-bersejarah.html

No comments:

Post a Comment

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts