Tuesday, August 20, 2013

Muzium Negeri Sembilan usaha pulihara warisan sejarah


MAKAM Bungkal Sekudai yang dipulihara Lembaga Muzium Negeri Sembilan di Kampung Kota, Rembau sebagai menghargai sumbangannya dalam institusi Undang Luak Rembau.

REMBAU 16 Ogos - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah menjalankan beberapa usaha memulihara dan mengekalkan warisan bersejarah di negeri ini supaya dapat dipertontonkan kepada generasi muda.

Pengarahnya, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, antara yang dipulihara ialah makam pemimpin adat dan pembesar negeri, yang ketika ini banyak menjadi rujukan dalam kalangan pengkaji sejarah, sama ada untuk tujuan dokumentasi, mahupun projek tesis pengajian mereka.

"Ini juga dapat memberikan ilham dan petunjuk kepada generasi muda terhadap budaya lampau, asal usul sesebuah kawasan serta mengetahui pemimpin yang pernah memegang kuasa di situ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Katanya, usaha terbaharu yang dilakukan oleh LMNS ialah menjalankan usaha murni dengan memulihara Makam Datuk Bungkal yang terletak di Kampung Kota di sini.

"Berdasarkan daripada sumber Balai Undang Luak Rembau, Datuk Bungkal Bendahara Datuk Sekudai adalah seorang wanita yang dilahirkan di Kampung Relong, Rembau di sekitar tahun 1497.

"Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik iaitu Datuk Mudek, Datuk Mengkudu dan Datuk Bungkal," katanya.

Tambah Shamsuddin, semasa zaman kanak-kanak, beliau telah diserahkan oleh ibu bapanya kepada pembesar dari Pagar Ruyong, Sumatera iaitu Datuk Leteh untuk dipelihara kerana ketika itu Leteh berserta rombongan telah membawa pembaharuan dan agama Islam di Rembau.

"Bungkal telah berkahwin dengan seorang pembesar dari Pagar Ruyong, Sumatera iaitu Datuk Lela Balang sekitar tahun 1516 dan memperoleh empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

"Anak perempuan beliau yang sulung bernama Datuk Pundong diikuti Datuk Siti, Datuk Lijah, Datuk Makraman dan anak lelaki ialah Datuk Seri Rama.

"Bungkal bersama dengan Lela Balang iaitu suami beliau berserta dengan pembesar-pembesar yang lain telah bermuafakat melantik seorang penghulu bagi mentadbir kerajaan Rembau," ujarnya.

Tambah Shamsuddin, atas kebulatan anak buah, maka Datuk Seri Rama iaitu anak kepada Lela Balang dengan Bungkal telah dilantik sebagai Undang Luak Rembau yang pertama dan dikerjankan pada tahun 1540.

"Dengan wawasan dan pemikiran yang bernas daripada Bungkal dan Lela Balang, maka Institusi Undang Luak Rembau telah ditubuhkan di sekitar tahun 1540 dan kekal sehingga ke hari ini," ujarnya.

Melihatkan perkembangan itu katanya, LMNS memulihara makam ini untuk menghargai dan mengenang jasa serta sumbangan Bungkal di samping menjadi tempat rujukan.

"Apabila dipulihara diharap dapat menjadi kawasan sumber maklumat berkaitan tokoh terutama dalam hubungannya dengan sejarah Institusi Undang Luak Rembau.

"Adalah diharapkan menerusi kerja-kerja menaiktaraf dan pemuliharaan makam ini nanti akan memperkayakan lagi produk pelancongan yang berasaskan warisan bersejarah yang terdapat di daerah Rembau," ujarnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130817/ws_04/Muzium-Negeri-Sembilan-usaha-pulihara-warisan-sejarah#ixzz2cVGpN0mD © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment:

  1. Alhamdulillah Makam Datuk Bungkal telah dipulihara dan di naik taraf. Bagaimana pula dengan Makan Datuk Lela Balang? Diharapkan semoga Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS)mengambil langkah yang sama.

    ReplyDelete

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts