Sunday, September 25, 2011

Adat Perpatih : Suku Biduanda

Sejarah kedatangan adat perpatih ke Negeri Sembilan adalah berkait rapat dengan kedatangan peneroka-peneroka orang-orang Minangkabau kerana penyerapan adat itu ke dalam masyarakat di sini adalah selaras dengan kedatangan mereka. Penduduk Negeri Sembilan kebanyakan mereka berasal dari Tanah Minangkabau di Sumatera Barat. Apabila mereka berhijrah ke negeri ini, mereka membawa bersama-sama cara hidup dan warisan kebudayaan yang diamalkan di negeri asal mereka.

Negeri Sembilan adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan sistem adat perpatih atau dikenali juga sebagai sistem matrilineal, di mana keturunan seseorang itu disusurgalurkan mengikut sebelah ibu (nisab ibu). Adat perpatih dapat dianggap sebagai satu kawalan sosial dan merupakan satu sistem kekerabatan yang amat liberal dan menyeluruh. Justeru itu, terdapat beberapa konsep dalam adat ini yang menunjukkan hubungan kekrabatan seperti jurai, perut, suku dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, dari segi asal-usul adat ini, pada hari ini masyarakat Negeri Sembilan pada teorinya terpecah kepada 12 kumpulan yang dipanggil suku. Suku adalah merupakan kesatuan yang pada zaman awal berbentuk pengwilayahan yang diberi nama-nama tertentu iaitu:-

1. Suku Biduanda/Waris

2. Suku Batu Hampar

3. Suku Paya Kumbuh

4. Suku Mungkal

5. Suku Tiga Nenek

6. Suku Seri Melenggang

7. Suku Seri Lemak

8. Suku Batu Belang

9. Suku Tanah Datar

10. Suku Tiga Batu

11. Suku Anak Aceh

12. Suku Anak Melaka

Dari segi pentadbiran, adat perpatih adalah adat yang meliputi keseluruhan kehidupan ahlinya. Jadi, disamping mengaturkan kehidupan sosioekonominya, ia juga mempunyai sistem tadbir politik yang tersendiri. Untuk tujuan ini perbilangan adat mengatakan:

Alam beraja
Anak buah berbuapak
Orang Semenda tempat semenda
Dagang berpantun
Perahu bertambatan

Ini bermaksud bahawa tiap-tiap luak atau daerah mempunyai seorang ketua atau pemerintah tertentu yang bergelar PENGHULU atau sekarang ini UNDANG. Jawatan undang ini digilirkan di kalangan ahli dalam suku biduanda atau waris.

Dalam sistem adat perpatih penduduk-penduduk dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan yang paling asas ialh kumpulan yang dinamakan PERUT. Anggota kumpulan ini terdiri dari keturunan nenek yang satu. Ketua perut ialah seorang lelaki yang dinamakan ibu bapa. Kumpulan yang besar daripada perut dinamakan suku iaitu terdiri daripada perut-perut yang ada tali persaudaraannya. Kedudukan suku adalah di bawah lembaga yang dipilih daripada ahli perut. Pemilihannya adalah mengikut giliran yang telah ditentukan. Di atas lembaga ialah undang, dipanggil Datuk Undang.

Adat ini dilaksanakan hampir sepenuhnya dalam berbagai-bagai aspek kehidupan dalam masyarakat iaitu penentuan pentadbiran, pembahagian kuasa politik, pembahagian dan urusan tanah pusaka, penyusunan prinsip nikah kahwin dan sebagainya. Sebagai suatu peraturan hidup yang berdasarkan kepada kepentingan bersama bergotong royong dan demokrasi, adat ini sentiasa dipertahankan keutuhan dan kewibawaannya.

Pakaian Tradisi Minangkabau

Keturunan dalam adat perpatih adalah menerusi pihak perempuan.Menurut adat seseorang anak adalah masuk pihak ibunya dan dia dianggap tidak ada pertalian dengan suku bapanya. Adat ini amat besar pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat yang berkenaan. Menurut hukum syarak seseorang itu boleh berkahwin dengan anak perempuan kakak atau adik ibunya. Tetapi perkahwinan semacam ini adalah dianggap sumbang pada sisi adat perpatih. Bagi mereka, anggota-anggota dalam satu suku semuanya dikira sangat rapat persaudaraannya iaitu disifatkan sebagai suatu keluarga besar. Sehubungan dengan ini masyarakat adat perpatih di anak lebih rapat lagi perhubungannya dengan bapa saudara sebelah ibu daripada bapa saudara sebelah bapanya.


No comments:

Post a Comment

RENUNGAN BUAT ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN

Popular Posts